rencana

Pendidik mesra mudahkan ilmu dihadam

Oleh Dr Muhammad Abd Hadi

TEMPOH Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 banyak mengajar ramai insan menjadi lebih berempati dengan nasib yang dilalui insan lain. Ada yang kehilangan pekerjaan, kemurungan kerana terlalu lama berkurung dalam rumah dan tidak selesa menyendiri dalam dunia sendiri.

Dalam konteks pendidikan pula, pensyarah dan guru sebagai pendidik berhadapan cabaran besar untuk mengajar dalam platform digital.

Ada pelajar yang tidak mendapat akses internet yang berkualiti, ada tidak mahir menggunakan platform pembelajaran digital dan ada juga yang tak mendapat sokongan sebaik-baiknya akibat tidak bertemu secara berdepan.

Saat PKP membentuk satu titik penting buat pendidik untuk menjadi lebih cakna dengan nasib pelajar. Bersangkutan saat-saat berlakunya PKP itu, pendidik didorong untuk membentuk satu kebolehan yang penting iaitu kemampuan menyantuni pelajar.

Pada saat PKP, pelajar sebenarnya mendambakan pendidik untuk mendekati mereka kerana tidak mudah untuk mereka belajar dalam platform digital. Di sinilah pendidik dituntut untuk memiliki upaya menyantuni.

Apabila pelajar berasa pendidik dapat menyantuni mereka, timbul perasaan dalam diri pelajar bahawa pendidik peka dengan keadaan dan keperluan mereka.

Ini menimbulkan rasa sayang pelajar kepada pendidik mereka. Di sini penulis akan mengemukakan tiga perkara yang membolehkan pendidik menyantuni pelajar dengan lebih berkesan.

Pertama, pendidik yang mempunyai ciri mudah didekati (approachable) adalah satu ciri penting pendidik berwibawa. Ini termasuk pendidik bercitra seseorang yang berwajah ceria. Senyuman mempunyai tarikan tersendiri dalam menampilkan keceriaan wajah.

Dalam agama Islam, senyum dianggap satu sedekah. Melemparkan senyuman kepada pelajar dengan selingan sedikit unsur jenaka yang sesuai dapat mengeratkan hubungan pendidik dengan pelajar.

Sesuai dengan fitrah manusiawi, insan kelihatan ceria dan suka tersenyum akan lebih mudah didekati berbanding dengan yang bermuka masam.

Ini juga terpakai dalam konteks pendidikan termasuk pembelajaran dalam talian. Pendidik dapat melakukan hal ini tatkala memasang butang on untuk video persidangan atau merekod video pengajaran berserta wajah ceria dan bersemangat. Selain itu, ciri mudah didekati juga bermaksud pendidik melayan pertanyaan dan panggilan yang dibuat oleh pelajar. Membalas mesej pelajar, membuat semula panggilan ketika tidak dapat menjawab panggilan sebelumnya dan bertanyakan khabar antara usaha membina sifat mudah didekati.

Ini juga menonjolkan sifat profesionalisme yang tinggi dalam kalangan pendidik. Aspek kedua ialah keupayaan menjadi seorang pendengar yang baik.

Ini termasuk memahami cabaran dihadapi pelajar untuk mendapat pembelajaran berkualiti dalam medium internet kerana rata-rata mereka tidak biasa dengan pendekatan pembelajaran dalam talian yang secara tradisi belajar secara bersemuka.

Pendidik mampu menjadi pendengar yang baik andai dalam diri bersedia meluang masa seketika mendengar pandangan pelajar dan mengambil kira keluhan serta rintihan mereka.

Dengan menjadi pendengar yang baik adalah langkah permulaan kepada menjadi seorang pendidik yang mudah menyantuni pelajar. Ini bersangkutan dengan aspek pertama yang dikupas tadi. Simbol paling cantik diciptakan Tuhan ialah dua telinga, kanan dan kiri yang membawa makna mendalam terhadap keperluan mendengar sekurang-kurangnya dua sisi.

Simbolik penciptaan agung oleh Tuhan wajar direnungi dengan sebaik-baiknya oleh insan, khususnya pendidik. Maklum balas yang diberi oleh pendidik kepada pelajar memainkan peranan penting dalam membina hubungan lebih bermakna antara kedua-dua pihak.

Ketiga, memberi maklum balas akan membolehkan pelajar mengetahui kekuatan dan kelemahan hasil kerja mereka. Dalam memberi maklum balas mengenai kelemahan pelajar, pendidik amat perlu peka terhadap unsur emosi. Tidak semua pelajar dapat menerima serta-merta maklum balas yang menyentuh kelemahan diri mereka.

Namun, dengan pendekatan yang lebih positif dalam memberi maklum balas, pendidik boleh menukar nada maklum balas kepada yang lebih berorientasikan nilai pengembangan potensi pelajar secara berterusan. Maksudnya ialah maklum balas mengenai kelemahan pelajar disampaikan dalam nada lebih optimistik dengan mengemukakan cadangan bernas untuk meningkatkan kualiti kerja pelajar.

Penulis percaya misi menjadi pendidik berwibawa adalah satu matlamat jangka panjang kerana banyak cabaran untuk menjadi pendidik sebegini. Tentu saja kesabaran pendidik akan teruji dengan tindak-tanduk pelajar.

Namun, dengan cabaran beginilah pendidik akan menjadi lebih matang untuk menjadi lebih bijaksana menangani sifat dan sikap pelajar yang kompleks dan pelbagai.

Akhirnya, dengan kesabaran dan kebijaksanaan pendidik, mereka akan kekal diingati dengan akhlak terpuji dan bahkan diingati setelah pendidik meninggalkan dunia ini.

Penulis Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: August 4, 2020 @ 5:59am
    d