rencana

Cabaran yakinkan golongan antivaksin

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah

Khabar gembira menutup tirai 2020 apabila dua negara kuasa besar dunia, Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) meluluskan penggunaan kecemasan vaksin Covid-19 dibangunkan oleh gergasi farmaseutikal AS, Pfizer serta rakan niaga Jerman, BioNTech.

Bagaimanapun, satu laporan mengenai kelulusan penggunaan kecemasan kepada rakyat AS mengundang perhatian ramai. Ia apabila laporan dikemukakan oleh Pfizer kepada panel Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan AS (FDA) menyatakan enam individu meninggal dunia ketika peringkat akhir ujian klinikal vaksin berkenaan.

Maka, bertepuk tanganlah golongan yang tidak mempercayai Covid-19 dan golongan antivaksin. Ia digunakan sebagai 'dalil' di media sosial untuk menolak pemberian vaksin berkenaan. Sedangkan, laporan sudah memperincikan hanya dua orang sebenarnya maut selepas menerima vaksin pada peringkat percubaan. Vaksin itu juga diluluskan di AS dan UK untuk penggunaan kecemasan selepas agensi pengawal selia di negara berkenaan berpuas hati dengan keberkesanannya.

Oleh itu, ia menjadi satu tugas berat kepada mana-mana kerajaan untuk meyakinkan pihak yang tidak mahu mempercayai mengenai virus ini dan golongan yang menolak vaksin berkenaan meskipun ketika ini, banyak negara lain termasuk Malaysia sudah bersiap sedia untuk menerima bekalan fasa pertama vaksin Pfizer dan BioNTech.

Realitinya, dalam era dunia moden hari ini, umum tidak dapat menolak hakikat terdapat masyarakat yang cenderung untuk menolak vaksin. Hatta, di negara maju seperti AS dan UK, pihak berkuasanya juga mengenal pasti masalah sama. Berdasarkan satu kaji selidik di AS, hampir 20 peratus daripada responden mahu menerima suntikan vaksin hanya selepas individu lain menerimanya dan terbukti berkesan.

Sementara itu, 20 peratus lagi menyatakan tidak mahu menerima vaksin berkenaan.

Sehingga kini, ramai daripada golongan antivaksin ini masih berpegang kepada pandangan Dr Andrew Wakefield di UK yang pada 1998 mendakwa vaksin kombinasi campak, beguk dan rubela menyebabkan autisme. Ini selepas dia memperbesar- besarkan kesan sampingan dan memalsukan rekod hospital. Sedangkan, setahun selepas itu, kerajaan UK membatalkan lesen perubatan Dr Andrew selepas mendapati dia berbohong.

Di Malaysia, golongan ini yang menurut penyelidik di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Rosdiadee Nordin sebagai sebahagian daripada gerakan sains palsu semakin agresif dengan perkembangan terbaharu vaksin Covid-19.

Menurutnya, pandangan itu kini menular dalam kalangan golongan profesional. Mereka memuat naik pelbagai hantaran di media sosial dengan pelbagai hujah menggunakan teori konspirasi bagi menyokong pandangan ini.

Bagaimanapun, pakar berpendapat masih ada cara untuk mengubah tanggapan golongan ini dengan penerangan jelas mengenai keselamatan vaksin Covid-19 kepada masyarakat.

Dalam hal ini, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, langkah itu dapat mengelak kekeliruan berkaitan vaksin Covid-19 dalam kalangan masyarakat, sekali gus dapat menangkis persepsi negatif dan momokan oleh golongan antivaksin.

Sebelum menolak sepenuhnya vaksinasi, orang ramai perlu merujuk kepada pandangan mereka yang pakar dalam bidang perubatan. Terbaharu, pembantu penyelidik di Jabatan Kimia Universiti Teknikal Timur Tengah di Ankara menegaskan kepentingan vaksin untuk mengekang Covid-19.

"Dengan vaksin (untuk mencegah penyakit lain sebelum ini), tiga juta orang dapat diselamatkan daripada meninggal dunia (daripada pelbagai penyakit) setiap tahun. Jika kadarnya mencapai sasaran, ia akan mengelak 1.5 juta orang lagi daripada meninggal dunia. Atas sebab itu, penting untuk menerima vaksin Covid-19 ini," katanya seperti yang dilaporkan agensi berita Anadolu.

Hakikatnya, meyakinkan golongan antivaksin untuk menerima vaksin tak ubah seperti meyakinkan kewujudan makhluk ghaib kepada mereka yang tidak mempercayainya. Jadi anda pula bagaimana, adakah anda percayakan vaksin?

Penulis wartawan Harian Metro

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: December 19, 2020 @ 5:59am
    d