rencana

Populariti ajak patuh SOP

Oleh Najiy Jefri

ISNIN lalu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula semalam hingga 26 Januari ini bagi menangani jumlah kes positif Covid-19 yang semakin meningkat.

Enam negeri yang menjalani PKP adalah Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Pulau Pinang, Johor, Sabah dan Melaka.

Selain itu, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan manakala Perlis dan Sarawak pula berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Maka, bermula episod 'duka' buat sebahagian besar penggiat seni apabila ada antara sektor hiburan tidak dapat diteruskan demi keselamatan semua pihak.

Antaranya adalah aktiviti penggambaran tidak dibenarkan di negeri yang dikuatkuasakan PKP.

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Zakaria Abdul Hamid dalam satu kenyataan kelmarin berkata, semua syarikat produksi perlu akur dengan arahan itu dan semua aktiviti penggambaran perlu dihentikan.

Tidak hanya itu, pelbagai tekanan lain akan dirasai selebriti seperti tiada majlis sidang media untuk mempromosikan karya mereka dalam waktu PKP ini.

Selain itu, kesempitan wang juga bakal dirasai selebriti atau pekerja belakang tabir kerana tiada peluang baharu untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Justeru, dalam mendepani dugaan mencabar ini, setiap individu yang terbabit dalam dunia seni perlu bersatu hati dan menghulurkan pertolongan buat penggiat seni yang berisiko terjejas dan tiada wang mencukupi.

Usah merayu simpati orang ramai, sebaliknya kalian perlu saling tolong-menolong dan bertanya khabar supaya tiada yang terjejas.

Dalam masa sama, setiap selebriti perlu bersama membantu kerajaan untuk menghentikan penularan wabak Covid-19.

Sudah tiba masanya selebriti yang memiliki pengaruh yang besar di media sosial untuk mengajak pengikut kalian untuk terus mendisiplin diri dan mematuhi semua garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP).

Jangan kita mengambil sikap pentingkan diri sendiri ketika keadaan negara berdepan ancaman Covid-19.

Betulkan niat dan ambil tanggungjawab bersama.

Kita ambil contoh penyanyi otai, Datuk Hattan yang konsisten dalam memberikan mesej dan menggunakan pengaruh untuk mengajak orang ramai mematuhi SOP.

Sejak PKP yang dilaksanakan pada 18 Mac tahun lalu, Hattan sering memberikan pesanan kepada pengikutnya menerusi Instagram.

Walaupun usaha Hattan tidak menggunakan wang ringgit, tetapi populariti dimiliki penyanyi itu digunakan sebaiknya untuk berkongsi maklumat semasa kepada orang ramai.

Usaha murni dan berterusan Hattan patut diikuti ramai selebriti lain untuk membantu mengurangkan kadar jangkitan Covid-19.

Ambillah segala perkongsian ini dengan hati yang terbuka dan positif.

Lagi satu jangan sesekali kita mengharapkan kebaikan yang ingin dilakukan adalah untuk membuatkan diri anda dipandang mulia.

Sebaliknya, jika anda ikhlas melakukannya, segala pujian dan kebaikan akan datang sendiri.

Ayuh sama-sama kita berubah kepada sesuatu yang lebih baik untuk masa depan yang lebih harmoni.

Penulis wartawan hiburan, Harian Metro

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 14, 2021 @ 6:30am
    d