rencana

Kewajaran dipersoalkan

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah

Pasport adalah dokumen perjalanan penting yang dikeluarkan oleh negara kepada warganya.

Ia bagi membuktikan identiti dan status kewarganegaraan setiap pemegang pasport.

Tujuannya untuk membolehkan seseorang memasuki negara asing.

Namun kebelakangan ini, sudah ada negara Barat berhasrat memperkenalkan 'pasport vaksin.'

Ia merujuk kepada dokumen khusus yang membuktikan seseorang sudah menerima suntikan vaksin sebelum dibenarkan memasuki sesebuah negara.

Dalam perkembangan sama, Jawatankuasa Krisis Pelancongan Global dalam mesyuarat yang dianjurkan Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNTWO) turut mendesak supaya dokumen itu diperkenalkan.

Bagi pihak yang terbabit dalam perbincangan itu, dokumen itu perlu bagi 'menyegarkan' kembali industri pelancongan antarabangsa yang terjejas teruk akibat penularan pandemik itu.

CNN dalam pada itu melaporkan beberapa destinasi termasuk Seychelles, Cyprus dan Romania sudah menarik balik peraturan kuarantin kepada pengembara dengan syarat mereka dapat mengemukakan dokumen yang mereka sudah menerima suntikan vaksin.

Negara lain seperti Iceland dan Hungary pula sudah membuka pintunya kepada individu yang sudah disahkan sembuh daripada virus itu. Malah, Iceland menjadi negara pertama yang mengeluarkan sijil pengesahan kepada individu yang sudah menerima dua dos suntikan vaksin.

Namun ketika negara berkenaan sudah mengambil langkah perintis dalam apa yang dilihat sebagai usaha untuk merangsang semula ekonomi, negara lain di Eropah masih 'di atas pagar' berhubung keperluan 'pasport vaksin' ini.

Voice of America pula melaporkan Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis pula dilihat mengetahui blok pemimpin yang mendesak supaya Suruhanjaya Eropah segera merangka rangka kerja untuk 'menghasilkan persefahaman mengenai kaedah sijil pengesahan yang dapat diterima pakai semua negara anggota.'

Namun di sebalik perkembangan ini, ramai yang mempersoalkan kewajaran 'pasport vaksin.'

Dari satu sudut, ia adalah tiket untuk menyuntik semula sektor pelancongan, hospitaliti dan penerbangan yang terjejas teruk akibat kawalan pergerakan. Ia juga akan membolehkan restoran, bar, pawagam dan premis hiburan yang sudah ditutup untuk tempoh lama pada tahun lalu untuk kembali beroperasi.

Satu laporan juga menyebut bahawa syarikat teknologi seperti IBM pada tahun lalu sudah merintis usaha kepada pembangunan aplikasi telefon pintar atau e-dompet yang mengandungi butiran peribadi mengenai keputusan ujian saringan dan status sama ada seseorang sudah menerima vaksin.

Negara Kesatuan Eropah (EU) bagaimanapun, dilihat berhati-hati dalam mengumumkan sebarang keputusan mengenai 'pasport' baharu ini.

Pihak berkaitan dikatakan masih mempertimbangkan pelbagai isu termasuk persoalan sama ada individu yang sudah menerima vaksin masih boleh menyebarkan virus itu kepada individu lain.

Selain itu, isu sama ada vaksin berkenaan dapat mengekang jangkitan Covid-19 juga perlu diambil kira.

Pada masa sama, ada negara dalam blok itu yang masih mempertikaikan mengenai status vaksin yang diguna pakai di negara masing-masing.

Ini memandangkan pelbagai negara tidak hanya menggunakan vaksin keluaran BioNTec -Pfizer atau Moderna.

Bagaimana jika seseorang itu menerima suntikan vaksin buatan Rusia atau China?

Daripada aspek lain, pasport vaksin turut membuka kepada jurang sosial antara negara kaya dan miskin.

Ini memandangkan negara kuasa besar dunia ketika ini termasuk Amerika Syarikat dan United Kingdom yang melakukan proses vaksinasi berskala besar.

Sama seperti perjanjian pembekalan vaksin yang terlebih dahulu dibolot negara maju, rakyat di negara miskin termasuk di benua Afrika terus 'terpinggir' kerana tidak dapat melaksanakan program vaksinasi secara besar-besaran kepada rakyatnya.

Malah, negara terbabit masih bertungkus-lumus mengawal kes jangkitan Covid-19,

Jadi, adakah adil sekiranya negara Barat mencapai kata sepakat mengenai pasport vaksin dan rakyatnya sudah dibenar mengembara, rakyat negara miskin pula masih disekat daripada merentas garis sempadannya?

Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 2, 2021 @ 7:15am
    d