rencana

Kelangsungan industri kreatif

Oleh Norhayati Nordin

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan bermula 13 Januari lalu, seperti dijangka industri hiburan turut kecoh terutama membabitkan penggiat seni dalam bidang penerbitan drama dan filem.

Semuanya berikutan aktiviti penggambaran yang rancak dibuat syarikat produksi mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dihentikan serta-merta.

Malah, untuk mendapat SOP baharu dilihat mengambil masa lama.

Oleh itu, situasi ini menimbulkan ketegangan antara pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dengan pemain industri kreatif yang menganggap badan itu 'lambat bertindak' untuk membantu menyelesaikan permasalahan berlaku.

Ia berikutan pendapatan penggiat seni belakang tabir terjejas kerana kebanyakan tenaga kerja ini adalah freelancer yang bergantung konsep 'ada kerja ada gaji' termasuk pihak produksi juga perlu menampung penambahan kos penerbitan.

Mengambil kira apa yang berlaku, pihak persatuan dan beberapa penggiat seni senior tampil bersuara untuk membantu memperjuangkan nasib pekerja belakang tabir yang terjejas dan memerlukan perhatian segera.

Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) dalam kenyataan dikeluarkan pada 2 Februari lalu merayu kerajaan supaya membenarkan semula aktiviti penggambaran.

Ini termasuk luahan pengarah dan penerbit produksi yang meminta pertimbangan dibuat sehingga pelakon veteran, Fauziah Nawi pun sanggup berjumpa pembesar negara termasuk Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri untuk memohon kebenaran penggambaran itu.

Kebersamaan persatuan dan penggiat seni yang bersuara ini nyata memperlihatkan betapa mereka semua bersatu dan mengambil berat terhadap nasib menimpa rakan lain dalam kalangan pekerja industri yang terjejas pendapatan.

Ditambah, kebanyakan pekerja belakang tabir di negara ini dikatakan rata-ratanya tidak memiliki jumlah simpanan yang banyak dan cukup untuk terus menampung hidup terutama bagi sudah berkeluarga.

Kelmarin, akhirnya segala permasalahan diluahkan itu menemui titik penyelesaian apabila garis panduan SOP baharu dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang membenarkan semula aktiviti penggambaran dijalankan semula.

MKN mengeluarkan SOP untuk enam aktiviti pembangunan kandungan kreatif dalam sektor industri kreatif membabitkan produksi animasi dan muzik, pascaproduksi di studio, pembangunan muzik secara digital, rakaman lagu di studio, praproduksi penggambaran dan penggambaran di studio.

Antara aktiviti penggambaran di studio merangkumi drama, telefilem, iklan, dokumentari, sitkom, penstriman secara langsung, rakaman kebudayaan, seni dan warisan tanpa penonton.

Apa-apa pun, aktiviti uji bakat secara bersemuka tidak dibenarkan dan disaran dilakukan secara (praproduksi) maya ataupun melalui penghantaran video oleh artis.

Selain itu, semua aktiviti penggambaran juga dilarang di kawasan yang berada di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

SOP yang perlu dipatuh ketika penggambaran antaranya protokol kawalan dan pencegahan penyakit, pemeriksaan suhu badan, penggunaan aplikasi MySejahtera, pembersihan dan nyah kuman premis serta penjarakan fizikal.

Terdahulu, pada 6 Februari lalu Finas juga melancarkan Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (Prisma) yang bertujuan memastikan kelangsungan dan kelestarian penggiat industri kreatif negara dalam mendepani impak pandemik Covid-19.

Pelancaran pakej rangsangan inisiatif jangka pendek itu dilakukan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Datuk Saifuddin Abdullah.

Dalam kenyataan dikeluarkan Finas, sebanyak RM89.2 juta suntikan dana diperuntukkan Prisma untuk menggerakkan semula ekonomi industri kreatif yang berupaya memberi manfaat kepada semua penggiat seni.

Prisma juga dilaksanakan melalui tiga strategi utama iaitu memudah cara pembiayaan penghasilan kandungan kreatif, mengupayakan kapasiti dan kemahiran penggiat industri kreatif serta menyediakan akses pasaran bagi produk kreatif tempatan.

Dijangkakan Prisma dapat memberi manfaat kepada lebih 9,000 penggiat industri kreatif serta berupaya mewujudkan sekurang-kurangnya 40,000 peluang pekerjaan melalui 32 program disediakan merangkumi empat kategori iaitu filem, muzik, kandungan kreatif digital dan seni visual, persembahan serta kraf.

Tidak terkecuali, terdapat juga inisiatif dan program lain di bawah kategori filem seperti Dana Mikro, Skim Pindaan Milestone Dana Kandungan Digital (DKD), Borneo Pitch@Prisma DKD, Pelan Langkah Segera Ekonomi Industri Kreatif (Pelaksana) Fasa 2, Program Creativity Never Stops dan Creative Business Revival Loan yang dilaksanakan Finas secara berperingkat mulai 5 Februari lalu.

Sehubungan itu, diharapkan sektor industri seni kreatif tanah air akan kembali rancak dalam usaha terus menjana ekonomi negara.

Walaupun penularan Covid-19 masih giat diatasi, semua pihak perlu berganding bahu untuk memastikan kelangsungan kehidupan dapat diteruskan seperti biasa.

Penulis wartawan hiburan Harian Metro

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 10, 2021 @ 6:00am
    d