rencana

Biar kreatif bina untung

Oleh Pankaj C Kumar

Peningkatan berterusan kes harian Covid-19 selain peningkatan kes kemasukan ke unit rawatan rapi di hospital (ICU) serta kes yang memerlukan bantuan ventilator mendorong kerajaan mengambil inisiatif melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ia bertujuan melandaikan keluk penularan Covid-19. Walaupun pelaksanaan PKP 3.0 dilihat agak longgar berbanding PKP 1.0 pada Mac tahun lalu, ia memberi kesan terhadap perniagaan dan penerima gaji harian selain yang bekerja sendiri.

Di samping pelbagai inisiatif diambil kerajaan dalam membantu sektor perniagaan dan individu, kebebasan untuk mengendalikan kegiatan ekonomi seperti biasa memberi banyak kelegaan kepada peniaga.

Namun, ada beberapa bidang perniagaan tidak bergantung secara langsung kepada kerajaan bagi mendapatkan bantuan pada waktu sukar ini kerana kadar kelangsungan hidup mereka dalam tempoh ini bergantung kepada sokongan eko-sistem perniagaan itu sendiri.

Dalam sektor peruncitan, misalnya ia bergantung budi bicara pemilik premis untuk memberi pengecualian sewa, diskaun atau penangguhan sewa, atau pembekal yang memberikan mereka fleksibiliti yang lebih besar dari segi kredit ataupun penyedia perkhidmatan utiliti yang membolehkan mereka membayar bil bulanan secara berperingkat.

Bahkan kakitangan mereka seharusnya tidak keberatan melaksanakan potongan sebahagian gaji untuk memastikan perniagaan dapat terus bertahan pada masa sukar ini. Pemberi pinjaman seperti institusi perbankan juga memainkan peranan memberikan sokongan kepada perniagaan dengan memastikan perniagaan itu dapat diteruskan serta mengelak jumlah yang dipinjamkan berpotensi menjadi pinjaman tidak berbayar.

Hakikatnya, peniaga di dalam eko-sistem perniagaan ini juga mempunyai bil yang perlu untuk dibayar. Oleh itu, sesetengah perniagaan tidak boleh mengambil kesempatan daripada keadaan terdesak dengan mengharapkan orang lain untuk membantu mereka pada masa ini.

Apa yang lebih fleksibel untuk perniagaan dalam segmen peruncitan adalah bertolak ansur dan menyedari bahawa walaupun perniagaan mereka terjejas oleh PKP, perkara sama juga dihadapi kepada perniagaan lain.

Contohnya, perniagaan beroperasi di pusat beli-belah, atau rumah kedai tradisional, penjaja makanan jalanan mahupun perniagaan yang beroperasi di sepanjang lebuh raya utama. Pemilik aset seperti pengusaha pusat beli-belah, pemilik rumah kedai, pengendali lebuh raya seperti PLUS sudah memainkan peranan mereka untuk menyediakan pelbagai jenis sokongan untuk memastikan perniagaan itu terus beroperasi.

Hujung minggu Aidilfitri apabila PKP 3.0 diumumkan, beberapa perniagaan runcit
turut dilanda penutupan secara tiba-tiba selama tiga hari berikutan pengumuman kerajaan bagi kawasan yang disenaraikan di bawah sistem Hotspot Identification for Dynamic Engagement (Hide).

Walaupun kerajaan menggunakan data dan teknologi untuk mengenal pasti kawasan tumpuan (hotspot), penutupan secara tiba-tiba memberi kesan ketara kepada bukan sahaja perniagaan runcit di kawasan yang terjejas, tetapi keseluruhan rantaian bekalan perniagaan, terutamanya dalam segmen makanan dan minuman.

Ini termasuk daripada pembekal bahan mentah hingga pembekal perkhidmatan p-hailing.

Pada masa lalu, pemilik pusat beli-belah dan pemilik premis bukan sahaja memainkan peranan sebagai warga korporat yang baik dengan membantu perniagaan ini yang terletak di premis mereka untuk terus bertahan dalam tempoh sukar, tetapi mereka juga menghulurkan bantuan di luar langkah langsung yang berkaitan dengan penyewaan premis.

Sebagai contoh, pemilik aset ini juga mengambil langkah dan melangkaui prosedur operasi standard (SOP) biasa bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap Covid-19 di premis perniagaan mereka. Ini penting bagi pemilik aset, terutamanya untuk pusat beli-belah atau pengendali lebuh raya, kerana mereka perlu memastikan premis di bawah kendaliannya tidak menjadi kluster Covid-19 yang baharu.

Malah, pengendali lebuh raya seperti PLUS menawarkan pelanggan untuk membuat tempahan makanan atau minuman lebih awal melalui aplikasi PLUS dengan perkhidmatan Pra-Pesanan.

Individu yang ingin mendapatkan makanan berikutan terdapatnya keperluan melakukan perjalanan di lebuh raya dalam tempoh ini mempunyai pilihan sama ada untuk membawa pulang makanan atau menikmati makanan mereka, bergantung kepada SOP semasa.

Bagi operator perniagaan di lebuh raya atau perniagaan di kompleks beli-belah, pemilik premis itu sendiri boleh melakukan pelbagai cara untuk menggalakkan atau mengekalkan perniagaan.

Namun, akhirnya, ia masih memerlukan sokongan pelanggan yang menjadi faktor penentu sama ada perniagaan atau operator itu dapat bertahan atau tidak dalam tempoh ini. Vendor atau peruncit itu sendiri perlu berinovasi bagaimana untuk kekal dalam perniagaan mereka.

Tiada siapa mengatakan bahawa menjalankan perniagaan adalah mudah. Pada masa sukar ini, sudah tiba masanya untuk sama-sama menyesuaikan diri dengan peredaran zaman.

Jika terdapat keperluan memotong kos mengendalikan perniagaan, operator atau vendor harus berbuat demikian. Ia masa sesuai berinovasi bagi peruncit dan operator perniagaan.

Kita melihat bagaimana perniagaan berubah akibat Covid-19 dan perubahan dalam tingkah laku pengguna, teknologi memainkan peranan besar dalam mendapatkan pelanggan dan mengekalkan jualan.

Oleh itu, perniagaan perlu inovatif dalam penawaran produk mereka atau menggunakan strategi diskaun harga untuk menjana jualan. Mereka juga perlu meneroka cara memasarkan produk di luar kedai fizikal kerana tiada siapa tahu berapa lama perniagaan ini akan terjejas kerana pandemik.

Penulis berpengalaman luas dalam bidang analisis pelaburan pasaran dan ekonomi

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 22, 2021 @ 6:15am
    d