arena

Chelsea masih untung RM177.448j

Oleh Agensi

London: Chelsea mengumumkan keuntungan berjumlah £32.5 juta (RM177.448j) menerusi laporan kewangan terkini walaupun mengalami kemerosotan pendapatan keseluruhan susulan pandemik koronavirus.

Kelab London itu mendedahkan butiran kewangan untuk setahun yang berakhir 30 Jun 2020 dan mencatatkan keuntungan walaupun pendapatan terjejas angkara Covid-19.

Jumlah pendapatan keseluruhan merosot daripada £446.7 juta (RM2.438b) kepada £407.4 juta (RM2.224b) juta akibat virus itu yang menyaksikan hasil penyiaran, hari perlawanan dan pulangan komersil merosot.

Chelsea menanggung kerugian £96.6 juta (RM526.63j) pada 12 bulan lepas tetapi kelayakan Liga Juara-Juara dan penjualan beberapa pemain antara punca utama mengimbangi kerugian.

Eden Hazard bintang utama yang berpindah daripada Stamford Bridge untuk menyertai Real Madrid dalam tempoh itu dengan kontrak mencecah £150j (RM816j).

Pengurus Blues, Frank Lampard kemudiannya berbelanja besar pada jendela perpindahan terakhir termasuk mendapatkan Timo Werner, Kai Havertz, Ben Chilwell, Hakim Ziyech dan Edouard Mendy.

Pengerusi Chelsea, Bruce Buck berkata dalam laman web kelab: "Seperti kita ketahui, banyak bisnes serata dunia terjejas akibat pandemik dan ia memberi kesan ke atas pendapatan Chelsea.

"Tetapi kekuatan dan kestabilan operasi kewangan kami membolehkan syarikat masih mampu mencipta kentungan pada laporan kewangan tahun lalu.

"Ini dilakukan dengan terus melabur ke atas pemain dan jika bola sepak tidak ditangguhkan pada Mac lalu kami mungkin mencapai sasaran ditetapkan seterusnya meningkatkan pendapatan untuk tahun kelima berturut-turut.

"Walaupun berdepan impak Covid-19, pulangan pendapatan masih kukuh, pasukan kami terus bekerja keras di atas padang dan berada dalam situasi untuk berkembang apabila bola sepak kembali seperti sedia kala."

Chelsea dimiliki bilionair Russia, Roman Abramovich sejak 2003.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 1, 2021 @ 11:46am
    d