arena

Sesi latihan dibenarkan bermula Isnin depan

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Kerajaan memberi lampu hijau kepada pasukan yang beraksi dalam Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Liga Hoki Malaysia (MHL) serta Liga Sepak Takraw (STL) untuk menjalani latihan bermula Isnin depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, konsep yang dibenarkan adalah latihan secara berpusat.

"Selepas membuat penilaian risiko dengan pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), kerajaan bersetuju untuk membenarkan program latihan berpusat bagi pasukan MFL, MHL dan STL bermula Isnin 15 Februari.

"Tempat latihan dan pergerakan atlet dan pemain adalah terkawal mengikut model gelembung sukan atau 'sports bubble'. Penginapan atlet atau pemain perlu mengikut SOP (prosedur operasi standard) 'camp quarantine' dan 'home quarantine' yang sudah ditetapkan," katanya pada sidang media hari ini.

Jelasnya, pihaknya juga sedang mempertimbangkan beberapa permohonan lain daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) khususnya yang bersifat individu serta tanpa sentuhan bagi tujuan kecergasan fizikal dan meningkatkan taraf kesihatan diri.

"Penelitian akhir sedang dibuat dan kita akan umumkan dalam tempoh terdekat," katanya.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sebelum ini mengesahkan KBS membentangkan permohonan kelonggaran bagi sektor sukan dan rekreasi dalam tempoh PKP pada Mesyuarat Teknikal MKN.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 9, 2021 @ 7:02pm
    d