arena

'Latihan macam biasa'

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Masih tiada sebarang makluman berhubung kejohanan terkini yang akan disertai barisan atlet pelayaran negara namun bagi atlet berpengalaman negara Khairulnizam Mohd Afendy dia perlu tetap fokus kepada latihan.

Katanya, umum sudah mengetahui keadaan terkini Covid-19 malah dia bersama rakan seperjuangan yang lain tidak menaruh harapan tinggi untuk ke luar.

Begitupun apa yang boleh dilakukan ketika ini hanyalah fokus kepada latihan dan bila tiba masa untuk ke luar negara, dia sudah bersedia sepenuhnya.

"Buat ketika ini memang saya masih belum tahu kejohanan seterusnya dan memang kami pun tak letak harapan tinggi untuk ke luar negara.

"Perancangan seterusnya buat atlet pelayaran juga masih belum diputuskan. Kejohanan Asia di Abu Dhabi juga sudah di tunda. Trip kami ke Eropah juga ditunda. Jadi buat ketika ini memang teruskan latihan seperti biasa sajalah," katanya.

Dia yang sudah melayakkan diri ke Tokyo 2020 dan akan membuat penampilan ketiga di pentas Olimpik itu sukar untuk meletakkan sebarang sasaran ketika atlet di Eropah dilaporkan menjalani latihan dan menyertai kejohanan seperti biasa.

Justeru ketika ditanya mengenai sasarannya, Khairul tidak boleh mengulas lanjut kerana sudah pastinya ada jurang prestasi antara atlet negara dan Eropah.

Untuk rekod pemenang pingat perak Sukan Asia dua kali itu menamatkan saingan di tempat ke-47 dalam kelas laser lelaki pada penampilan pertamanya di pentas Olimpik di London pada 2012 dan memperbaiki kedudukan itu dengan mengakhiri saingan di tempat ke-35 pada Olimpik Rio 2016.

Selain Khairulnizam, dua lagi atlet pelayaran negara iaitu Juni Karimah Noor Jamali dan Nuraisyah Jamil turut layak ke Tokyo 2020 dalam kelas 470 manakala Nur Shazrin Mohd Latif bagi kelas laser radial.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 12, 2021 @ 5:47pm
    d