utama

Pilu masih terasa

Oleh Asrizal Aris

 

"BIARPUN hari ini (22 September) genap 28 tahun kejadian itu berlalu, namun jeritan dan lambaian rakan-rakan saya meminta tolong masih segar dalam ingatan,"

Demikian luahan Siti Hajar Abu Bakar, 42, individu yang melihat sendiri kejadian kebakaran Madrasah Taufiqiah Khairiah Al Halimiah (MTKH), Yan, Kedah, yang mengorbankan 27 nyawa pada 22 September 1989.

Siti Hajar berkata, kejadian kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung, yang berlaku 14 September lalu, ternyata menggamit kembali peristiwa menyayat hati yang pernah dilaluinya.

Katanya, dia menerima berita kebakaran Darul Quran Ittifaqiyah melalui rakannya yang juga anggota bomba yang bertugas memadam kebakaran di bangunan berkenaan.

"Ketika itu 15 mayat sudah dijumpai. Saya cakap cukup! cukup! Jangan bagi lagi. Sesaat sahaja, air mata saya berjurai jatuh.

"Kejadian itu mengingatkan saya kepada rakan-rakan saya yang berada di Syurga sana. Walaupun 28 tahun, wajah mereka segar dalam ingatan saya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Siti Hajar yang juga anggota polis, dia tidak boleh meneruskan kerjanya pada hari kejadian 14 September lalu kerana tidak boleh berhenti menangis lalu meminta izin kepada ketua balai untuk pulang ke rumah.

Katanya, sejak kejadian kebakaran Darul Quran Ittifaqiyah, dia tidak boleh menonton atau mendengar berita mengenai peristiwa tragis yang mengorbankan 23 nyawa.

"Saya akan terbayangkan rakan-rakan saya. Saya ada terlihat gambar jasad mereka (pelajar tahfiz) yang terkorban.

"Biarpun saya seorang anggota polis, tetapi saya tidak kuat untuk pergi ke tempat kejadian kebakaran, saya pasti akan teringat jeritan dan lambaian tangan rakan-rakan meminta tolong," kata ibu kepada tiga anak itu.

Menceritakan semula peristiwa menyayat hati yang berlaku 28 tahun lalu, Siti Hajar berkata, beberapa jam sebelum kejadian, dia dan semua rakan-rakannya di MTKH sempat mengadakan majlis makan malam bersama.

"Pada malam kejadian, ketika saya berada di sebuah lagi di asrama yang lain, saya ternampak cahaya yang begitu terang di Asrama E. Saya orang pertama yang nampak ada kebakaran lalu pergi ke rumah ustaz untuk mengejutkannya.

"Apabila datang semula ke Asrama E, api sudah marak. Ramai rakan-rakan yang sudah terbakar, menjerit dan meminta tolong. Ramai yang terjun dari bangunan papan itu, berlari menyelamatkan diri. Tetapi saya tahu, ramai lagi rakan berada di dalam.

"Sebaik melangkah untuk memasuki bangunan terbakar itu, ada rakan lain yang memeluk saya, menampar saya dan diminta mengucap. Ketika itu saya menangis sekuat hati, saya tidak sanggup melihat ramai rakan saya tidak sempat menyelamatkan diri," katanya.

Menurut Siti Hajar, selepas kejadian itu dia sering bermimpi rakan-rakannya yang terkorban datang kepadanya sambil tersenyum dan berkata mereka bahagia di Syurga.

Katanya, dia tidak pernah lupa wajah rakan-rakannya biarpun sudah 28 tahun berlalu dan sentiasa menziarah pusara 27 rakannya yang dikebumikan pada satu kubur khas berdekatan lokasi kejadian.

Siti Hajar berkata, salah seorang rakan baiknya sempat menghadiahkan senaskah Al-Quran dan berpesan supaya jadikan kalam suci itu sebagai kenangan serta tanda persahabatan mereka.

Menurutnya, sehingga kini dia masih menyimpan Al-Quran itu dengan penjagaan yang rapi dan sentiasa dibawa ke tempat kerja untuk dibaca apabila kelapangan.

Pada 22 September 1989, seramai 27 pelajar Madrasah Taufiqiah Kahiriah Al Halimiah (MTKH) atau dikenali Pondok Pak Ya terkorban selepas asrama menempatkan pelajar terbabit terbakar. 

Pada 14 September lalu, tragedi menyayat hati itu seakan berulang apabila 23 pelajar dan guru Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah terkorban dalam kebakaran kira-kira jam 5.15 pagi.

Berita berkaitan :

Tragedi Tahfiz Ittifaqiyah

 

Disiarkan pada: September 22, 2017 @ 10:30pm
d