utama

Tak jumpa bukti [METROTV]

Oleh Norizuan Shamsuddin dan Asrizal Aris

PENYELAM Polis Diraja Malaysia (PDRM) menamatkan operasi di Tasik Datuk Keramat, hari ini tanpa penemuan bahan bukti berhubung kes kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiah.

Difahamkan selepas selaman lebih tiga jam di tasik itu, mereka tidak menemui objek disyaki dicampak oleh suspek ke dalam tasik itu, antaranya pemutar skru dan beberapa lagi peralatan lain yang boleh dijadikan bukti berhubung siasatan kes kebakaran pusat tahfiz.

Empat anggota dilihat turun ke dalam tasik terbabit bermula 10.30 pagi tadi sebelum menamatkan operasi penyelaman mulai 1.40 tengah hari dan beredar dengan menaiki van.

Menurut sumber polis, mereka melakukan selaman bermula dari tebing tasik di pintu pagar belakang yang digunakan suspek bagi menceroboh pusat tahfiz berkenaan.

"Pencarian dilakukan sehingga 10 meter dari tebing tasik berkenaan tetapi tidak menemui sebarang objek berkaitan yang diperlukan sebagai bukti siasatan kes.

"Keadaan air yang keruh turut menyukarkan operasi pencarian," katanya ketika ditemui, hari ini.

Dalam kejadian 5.15 pagi, 14 September lalu, 21 pelajar dan dua guru maut dalam kebakaran di tingkat tiga bangunan sementara pusat tahfiz terbabit.

Susulan itu, polis menahan tujuh lelaki berusia 11 hingga 18 tahun disyaki membakar pusat tahfiz itu.

Berita berkaitan :

Tragedi Tahfiz Ittifaqiyah

Disiarkan pada: September 26, 2017 @ 2:53pm
d