utama

Azizulhasni sebak dengar cerita pengetua

Oleh Azlan Muhammad Zain dan Khairil S Iswan

JAGUH berbasikal trek dunia, Azizulhasni Awang hari ini meluangkan masa untuk melawat dan menyampaikan sumbangan kepada Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Keramat, Kuala Lumpur.

Sumbangan itu adalah hasil lelongan sarung tangan dipakainya ketika memenangi gangsa keirin di Olimpik Rio pada 2016 dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar muncul pembida tertinggi dengan nilai RM5,000.

"Selain itu, terdapat sumbangan rakan kenalan dan penaja yang saya serahkan. Jumlah disumbangkan bukan menjadi persoalan kerana lebih penting peranan dan kesedaran dalam membantu masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama," kata Azizulhasni.

Sementara itu, di laman Instagramnya, Azizulhasni menyatakan kesyukuran diberi kesempatan mengunjungi pusat tahfiz itu dan bertemu dengan pengetuanya, Mohd Zahid Mahmood.

"Tidak dinafikan perasaan pilu dan sebak meresapi diri saya apabila melihat dengan kedua mata sendiri kesan kebakaran itu dan apabila mendengar cerita daripada mulut Ustaz Zahid tentang apa yang berlaku pada waktu kejadian.

"Diharap kejadian seperti ini adalah yang pertama dan terakhir di negara kita dan semoga ianya menjadi iktibar kepada diri saya sendiri dan semua pihak. Semoga kita semua dirahmati oleh Allah SWT," katanya.

Dalam kejadian 5.15 pagi, 14 September lalu, 21 pelajar dan dua warden maut dalam kebakaran di tingkat tiga bangunan sementara pusat tahfiz terbabit.

Susulan itu, polis menahan tujuh lelaki berusia 11 hingga 18 tahun disyaki membakar pusat tahfiz itu dan mereka akan didakwa di mahkamah, esok.

Berita berkaitan :

Tragedi Tahfiz Ittifaqiyah

Disiarkan pada: September 27, 2017 @ 8:26pm
d