utama

Naluri isteri LK 1 Nik Mohd Baihaqy

Oleh Muhammad Apendy Issahak

“JANGAN risau, nanti ‘papa’ keluar laa..,” itu antara ungkapan akhir Laskar Kanan 1, Allahyarham Nik Mohd Baihaqy Nik Mat, 28.

Kata-kata itu dilontarkan kepada isterinya, Noor Bazlin Mohammad, 28, sebelum dimasukkan dalam Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan, pada tengah malam Rabu lalu.

Noor Bazlin berkata, dia dimaklumkan oleh seorang pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ketika itu yang suaminya ditahan.

Menurutnya, arwah kemudian turut menghubungi memberitahunya perkara sama atas kesalahan lewat hadir kerja kali kedua.

"Kali terakhir arwah hubungi saya pada 11.41 malam, Rabu lalu. Dia menggunakan telefon pengiring yang membawanya ke bilik tahanan. Kami dapat berbual sekejap saja.

“Arwah ada pesan supaya jaga anak-anak dan datang melawatnya jika ada masa," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, hari ini.

Menurutnya, dia memang bercadang melawat suami, minggu depan.

Bagaimanapun, tidak kesampaian apabila kemudianya dimaklumkan berhubung kejadian menimpa arwah, pada 5.30 petang semalam.

"Apa yang saya persoalkan ketika ini adalah bagaimana suami saya boleh sesak nafas serentak dengan seorang lagi tahanan?

“Adakah stamina kedua-dua mereka sama?...Itu yang pelik," katanya yang bertugas sebagai jururawat di Klinik Kesihatan Datuk Keramat, Kuala Lumpur.

Noor Bazlin berkata, dia reda jika kematian suaminya namun tidak akan berdiam diri jika ada unsur jenayah di sebalik kejadian itu.

"Ketika menerima panggilan pegawai TLDM yang mengatakan suami akan ditahan, saya ada berpesan kepada pegawai itu agar ‘fikirkan’ mengenai anak-anak saya yang masih kecil.

"Nyata kerisauan saya itu menjadi kenyataan. Tidak sampai tiga hari dia ditahan saya mendapat berita permergiannya," katanya yang mempunyai tiga anak berusia empat hingga 10 bulan.

Berita berkaitan

Anggota TLDM maut latihan fizikal

Disiarkan pada: September 30, 2017 @ 1:45pm
d