utama

"Aisyah... Aisyah... Aisyah..."

Oleh Hamzah Osman

BAPA mangsa tragedi 'kepala air' di air terjun Kampung Buku Lubuk Semilang, Langkawi, tidak dapat menahan sebak sambil menyebut nama anaknya beberapa kali sejurus ditunjukkan seluar trek dipercayai dipakai anaknya yang masih hilang.

Kassim Abdullah, 45, yang juga bapa kepada Siti Aishah Kassim, 5, memeluk erat seluar trek itu yang ditemui orang ramai ketika menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang disambung semula 7 pagi, hari ini.

"Aisyah... Aisyah... Aisyah...," rintih Kassim sejurus menyambut seluar yang dihulurkan seseorang di tempat kejadian, hari ini.

Seluar trek hitam itu ditemui sekumpulan orang ramai tersangkut pada akar kayu kira-kira 500 meter dari tempat kejadian kira-kira 11.15 pagi.

Kassim yang ditemui berkata, dia cam seluar itu milik anaknya kerana dipakai Siti Aishah sejak awal pagi semalam.

"Pagi semalam dia (Aishah) manja apabila beberapa kali cium pipi dan tidur atas riba saya.

“Saya akan berada di sini untuk mengetahui perkembangan,” katanya yang tinggal di Kampung Bukit Malut, Langkawi.

Sehingga kini, tiga mayat mangsa sudah ditemui iaitu, Qistina Puteri Wira, 11, pada 5.30 petang semalam, Nor Aiman Wahidah Mohd Rosli, 11, (12.40 tengah malam tadi) dan terakhir, Anis Shahtirah Saad, 12, (11.46 pagi hari ini).

Hanya Siti Aisyah yang juga anak bongsu dalam keluarganya masih belum ditemui pasukan SAR terdiri daripada bomba, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam.

Dalam kejadian 4.30 petang semalam, semua mangsa dilaporkan dihanyut arus deras dari puncak bukit.

Berita berkaitan

mayat-anis-dijumpai-lima-kilometer-update

update-jumpa-di-perangkap-sampah

Semoga Anis ditemui segera

Sempat paut pada batu

1 lemas, 3 masih hilang

Disiarkan pada: October 13, 2017 @ 4:45pm
d