utama

[UPDATE] Pindah data peribadi, curi sekali

Oleh Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail\

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sudah mengenal pasti punca kebocoran 56 juta data peribadi pelanggan nombor telefon mudah alih di negara ini, bulan lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, siasatan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendapati kejadian berlaku apabila pekerja terbabit dalam pemindahan data mengambil peluang mencuri data ketika transaksi.

Menurutnya, mereka yang terbabit turut sudah dikenal pasti.

"Syarikat yang terbabit dalam pemindahan itu tidak ada kaitan dengan penyedia perkhidmatan telekomunikasi," katanya ketika sidang media di Maktab PDRM Cheras selepas Majlis Perhimpunan Pegawai Awam PDRM Ke-11, hari ini.

SKMM bersama PDRM menerusi kenyataan 20 Oktober lalu mengumumkan siasatan bersama berhubung laporan pengiklanan jualan data pengguna yang disyaki diperoleh secara tidak sah.

Menurut kenyataan itu, sebagai langkah pencegahan, pihaknya sudah meminta pentadbir portal menurunkan iklan jualan berkenaan.

Sementara itu, dalam kes berasingan berkaitan kehilangan pita magnetik mengandungi data sokongan Kumpulan CIMB, Mohamad Fuzi berkata, laporan polis dibuat tiga hari lalu di Balai Polis Sea Park, Petaling Jaya.

Katanya, polis sudah membuka kertas siasatan berhubung laporan itu, namun belum menemui sebarang pertunjuk.

"Bagaimanapun, polis tidak menolak kemungkinan ada unsur kecuaian membabitkan pegawai bank yang mengendalikan data terbabit. Saya tidak fikir ada menjurus kepada unsur sabotaj, walaupun data itu penting dan CIMB sudah mengambil langkah keselamatan yang perlu.

"Perkara ini isu dalaman mereka dan sekiranya memerlukan polis, kita akan bantu cari perkara yang sebenar," katanya.

Katanya, ketika ini, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Berita berkaitan:

Siasat dakwaan jualan data peribadi

SKMM minta tunggu siasatan selesai

Disiarkan pada: November 16, 2017 @ 1:33pm
d