utama

Mia diserah kepada ibu

Oleh Mary Victoria Dass

KANAK-KANAK perempuan berusia empat tahun dikenali sebagai Mia yang ditemui berseorangan di Bandar Baru Uda, Johor Bahru, Khamis lalu diserahkan kepada ibu kandungnya, semalam.

Pelindung kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat, Johor Bahru, Zaid Ikhwan Lim berkata, pihaknya memberi amaran kepada ibu kandung Mia berusia 30an supaya melaporkan diri selama dua tahun.

Beliau berkata, wanita itu diminta berbuat demikian setiap dua bulan sekali dan ia adalah usaha memantau keadaan dan perkembangan kanak-kanak itu.

Katanya, wanita berkenaan juga setuju untuk berbuat demikian.

"Keputusan bagi menyerahkan semula Mia kepada ibu kandungnya dilakukan selepas wanita itu hadir ke sesi pertemuan dengan pegawai psikologi dan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru semalam," katanya.

Zaid berkata, pihaknya juga mencadangkan wanita berkenaan supaya memohon bantuan daripada jabatan berkenaan.

Menurutnya, wanita berkenaan yang berstatus ibu tunggal memiliki tiga cahaya mata berusia antara 4 hingga 15 tahun.

"Wanita berkenaan menyatakan hanya bekerja sambilan sebagai pembantu kedai makan dam pendapatan bulanannya adalah antara RM300 hingga RM500 setiap bulan," katanya.

Zaid berkata, ketika diserahkan semula kepada ibu kandung, Mia dalam keadaan sihat.

"Kami berharap ibunya lebih peka dalam soal jagaan anak termasuk memastikan keselamatan anak," katanya.

Pada 17 November lalu akhbar ini melaporkan kisah Mia yang diselamatkan anggota polis sebelum dirujuk ke JKM.

Kisah Mia juga tular di media sosial hingga ia menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Berita berkaitan:

Macam-macam cerita tapi Mia tetap ceria...

'Nama saya Mia...'

Disiarkan pada: November 20, 2017 @ 4:23pm
d