utama

'Ina cium saya berulang kali'

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

“Arwah Ina (Norhaslina Abdul Razak, 27) ada luahkan yang dia tak puas lihat wajah saya dan mencium saya sebelum dia, suami serta anak mereka bergerak pulang pada Sabtu lalu," kata Aminah Jabil, 65.

Aminah adalah ibu kepada Norhaslina yang maut dalam kemalangan di Jalan Bota Kanan-Teluk Intan berhampiran Kampung Teluk Memali, Bota di sini apabila Proton Saga FLX yang dipandu suaminya, Ahmad Nor Al-Zaidin Ahmad Azzudin, 35, memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan lori sebelum terseret ke dalam parit air.

Kemalangan tragis itu turut mengorbankan Ahmad Nor Al-Zaidin dan adik ipar Norhaslina, Nor Azira Ahmad, 24.

Menurut Aminah, dia sempat meluangkan masa bersama keluarga anaknya itu Sabtu lalu.

"Mereka datang menjenguk saya di rumah dan kami sempat makan bersama sebelum keluar ke pekan Langkap untuk membeli barang.

"Selepas pulang dari Langkap mereka hantar saya semula ke rumah dan sebelum pulang, Ina sempat mencium saya berulang kali, malah berkata dia tak puas melihat saya," katanya yang tinggal di Chenderong Balai, Teluk Intan.

Aminah yang ditemui di Unit Forensik Hospital Changkat Melintang di sini hari ini berkata, pasangan terbabit meninggalkan seorang anak perempuan tunggal, Nur Damia Qistina berusia empat tahun.

"Pagi semalam menantu ada singgah di rumah sekejap dan mandikan cucu. Namun dia hanya mendiamkan diri dan merenung (melihat) saya sahaja sebelum ke tempat kerja.

"Mereka anak yang baik dan sentiasa mendengar kata namun saya reda dengan ketentuan ini," katanya sebak.

Berita berkaitan

Tiga maut, kemalangan lori dengan kereta

[UPDATE] Mangsa pegawai khas kepada Exco Perak

Disiarkan pada: December 13, 2017 @ 5:50pm
d