utama

Kali pertama bersekolah tanpa mama, papa

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

“Sesi persekolahan tahun ini sangat menyedihkan kerana mama dan papa sudah tiada namun sebagai anak sulung saya kena kuat serta tabah demi ahli keluarga lain.

“Saya juga akan belajar bersungguh-sungguh mencapai cita-cita menjadi seorang pegawai tentera dan pesanan mama serta papa supaya menjadi insan berguna akan sentiasa kami ingat,” kata Muhammad Daris Wafiy Sairulazuwan, 11, yang memulakan sesi persekolahan di Sekolah Rendah Agama Rakyat At-Ta'alim di Seri Manjung, hari ini.

Muhammad Daris Wafiy adalah anak sulung kepada Sairulazuwan Nadzim, 37, dan Azilina Abdul Aziz, 37, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 21 Jalan Sitiawan-Teluk Intan, berhampiran Kampung Kayan, Sitiawan, 3 Disember lalu.

Dalam kejadian 4.30 pagi, suami isteri itu bersama bayi lelaki mereka, Muhammad Daris Iffat, tiga bulan maut selepas Toyota Wish dinaiki terbabas sebelum terhumban dalam parit sedalam 2.5 meter.

Nahas itu menyebabkan Muhammad Daris Wafiy dan dua lagi adiknya, Muhammad Daris Rayyan,10, dan Muhammad Daris Amsyar,6, yang dihantar ke rumah datuk mereka ketika kejadian menjadi yatim piatu sekelip mata.

Menurut Wafiy, dia dan adik keduanya Muhammad Daris Rayyan yang memasuki tahun empat bagaimanapun teruja belajar di sekolah baru dan berjumpa rakan baru manakala Muhammd Daris Amsyar akan mula memasuki tadika di Manjung pada Khamis ini.

"Saya bangun seawal 6 pagi tadi untuk bersiap ke sekolah dan teruja ke sekolah baru namun sebenarnya saya juga rindu kawan dan sekolah lama di Sungai Buloh, Selangor.

"Yang paling dirindui adalah mama, papa serta Iffat dan ini kali pertama kami bersekolah tanpa mereka.

"Biarpun sedih saya kena kuat sebab saya masih ada Rayyan dan Kintan (Muhammad Daris Amsyar) serta ahli keluarga lain yang sentiasa ada bersama kami," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, ibu saudaranya, Nor Alvina Abdullah,32 berkata, mereka sekeluarga akan berusaha memberikan yang terbaik untuk tiga beradik itu dan urusan persekolah mereka akan diuruskannya.

"Emosi mereka sudah semakin baik cuma kadang-kadang mereka akan terkenang sesuatu perkara yang berkaitan ibu bapa mereka.

"Kami sekeluarga akan memberikan pendidikan yang terbaik kepada mereka dan terima kasih juga kepada orang ramai selain kenalan keluarga serta arwah yang sentiasa memberikan sokongan dan bantuan kepada tiga beradik ini," katanya.

Berita berkaitan:

Terbabas cuba elak kon

Tiga beranak terbunuh

Disiarkan pada: January 2, 2018 @ 4:19pm
d