utama

'Arwah sempat lontarkan senyuman'

Oleh Mohd Khidir Zakaria

“Arwah begitu teruja menyertai aktiviti keluarga yang dirancang sejak minggu lalu. Tidak disangka ia bertukar menjadi tragedi,” kata Habibu Rahman Baharuddin, 40, menceritakan mengenai sepupunya, Shaiful Zaman Abdul Jabbar, 39, yang lemas ketika menjaring ikan di pantai di Batu 1, Jalan Pantai, Port Dickson,

hari ini.

Habibu Rahman berkata, dia dan tujuh ahli keluarga merancang mengadakan aktiviti riadah itu sejak minggu lalu bagi merapatkan silaturrahim.

“Arwah datang ke rumah saya di Kampung Chokra di Pekan Port Dickson bersama adiknya sebelum kami berkumpul 8 malam tadi. Kami solat Isyak berjemaah dan bertolak ke lokasi,” katanya.

Menurutnya, arwah yang tinggal di Taman Dusun Nyior, Seremban seorang yang gemar bergurau namun sebelum insiden bertukar pendiam.

“Saya nampak perubahan dirinya namun tidak berani menegur. Sebaik tiba di pantai pada 2 pagi, lima daripada kami semuanya lelaki turun untuk memasang jaring,” katanya.

Menurutnya, keadaan pantai ketika itu tenang sebelum berlaku kejadian air pasang menyebabkan paras air semakin dalam.

“Disebabkan itu kami berenang ke daratan namun Shaiful Zaman tidak dapat bergerak kerana memakai kasut getah. Tambahan pula dia juga tidak pandai berenang,” katanya.

Dia berkata, dia cuba menyelamatkan sepupunya namun Shaiful Zaman dibawa arus deras dan hilang daripada pandangan.

“Sewaktu ditenggelami air, arwah sempat melontarkan senyuman menyebabkan saya sebak,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Port Dickson (HPD), Port Dickson bagi menuntut jenazah, hari ini.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Port Dickson, Razif Mohamad Harris berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian 3.03 pagi mengerahkan tujuh anggota ke lokasi.

Katanya, sebaik tiba pada 3.15 pagi, kerja mencari dan menyelamat dijalankan sebelum mayat mangsa ditemui pada 7.07 pagi iaitu 50 meter dari lokasinya hilang.

Berita berkaitan:

Lemas ketika menjaring ikan

Disiarkan pada: February 3, 2018 @ 1:32pm
d