utama

Didakwa bunuh rakan WeChat

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

LELAKI dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang Juruteknologi Pergigian pada Januari lalu.

Tertuduh, Abdul Malik Rosli, 19, yang memakai baju lokap jingga mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Siti Khairiah Abdul Razak.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh Mahussin Abdul Rahim, 28, di sebuah unit di tingkat 4 Kuarters Klinik Kesihatan Lukut, di sini, pada jam 1.40 pagi, 19 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum mati jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya A Ashwini manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mayat Mahussin ditemui oleh rakannya selepas 72 jam dilaporkan menghilangkan diri dan tidak datang bekerjapada 22 Januari.

Suspek melarikan diri menggunakan motosikal mangsa dan siasatan polis membawa kepada penahanannya di sebuah rumah di Johor Bahru, pada 30 Januari.

Hasil soal siasat polis, suspek mendakwa mengenali mangsa melalui aplikasi WeChat dan dijanjikan pekerjaan menyebabkan dia datang ke rumah mangsa menaiki bas, namun mangsa didakwa tidak menepati janji lalu berlaku pertengkaran sebelum suspek membunuh mangsa.

Berita berkaitan:

Lelaki diburu tertangkap [METROTV]

Motosikal si mati ada pada suspek

Kepala dihentak dengan benda keras

Mayat juruteknik pergigian ditemui selepas 72 jam [METROTV]

Disiarkan pada: February 12, 2018 @ 12:40pm
d