utama

Asyik menangis cari ibu ayah

Oleh Mohamed Farid Noh

“SAYA tak sanggup lihat dua anak saudara saya menangis cari ibu dan ayah yang sudah tiada, mereka masih kecil dan tidak faham apa-apa lagi," kata adik bongsu Allahyarham Cikgu Nur Farhana A Razak.

Farid A Razak, 26, berkata, dua anak saudaranya, Muhammad Hadif Zafri Mohamad Hashim, 3, yang dipanggil Adif dan Muhammad Hafiy Iman Mohamad Hashim, 11 bulan, yang dipanggil Iman itu amat rapat dan manja dengan ibu dan ayah mereka.

Katanya, keluarganya juga kelu dan tidak tahu apa yang harus dikatakan pada kedua-duanya yang asyik menangis bertanyakan di mana ibu dan ayah mereka.

"Adif dan Iman masih dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) sejak semalam dan mereka masih trauma dengan kemalangan yang meragut nyawa ibu dan ayah mereka, walaupun masih tidak memahami apa yang berlaku.

"Ibu saudara saya yang menjaga mereka di wad, sebak dan luluh melihat keduanya menangis sepanjang masa dan hanya mampu memujuk mereka. Adif hanya akan berhenti menangis apabila tertidur akibat kepenatan.

"Lebih pilu apabila saya menatap video terakhir dikirim arwah Kak Long yang teruja berkongsi Iman yang baharu boleh berjalan minggu lalu," katanya ketika ditemui di kediaman keluarga di Kampung Bindu, Batu Pahat, hari ini.

Dalam kejadian 10.30 pagi semalam, Nur Farhana, 29, meninggal dunia di lokasi akibat parah, manakala suaminya, Mohamad Hashim Marhaban, 31, meninggal lima jam kemudian di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNI, selepas Perodua Myvi dinaiki mereka bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda, kira-kira satu kilometer dari kediaman keluarga itu dekat Jalan Bindu.

Kedua-duanya dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bindu 9.30 malam tadi.

Ibu Nur Farhana, Hazah Abd Kadir, 60, serta Adif dan Iman, yang cedera, kini masih dirawat di HSNI.

Sementara itu Farid berkata, dia berharap kematian kakak serta abang iparnya itu mendapat pembelaan sewajarnya.

"Diikutkan hati memang kami marah dan ralat dengan kejadian ini, namun ibu menasihatkan kami supaya bersabar dan reda dengan ujian Allah SWT ini serta menerima takdir dengan tenang.

"Kami hanya mahu menjaga amanah Kak Long, iaitu Adif dan Iman dengan sebaiknya selepas ini dan memastikan kehidupan mereka terbela, malah semua ahli keluarga bersetuju menjaga mereka bersama-sama, namun kami menunggu ibu sembuh dahulu bagi berbincang dengan keluarga arwah abang ipar, " katanya.

Farid berkata, kakaknya teruja pulang ke kampung kali ini berikutan sedang membuat persiapan untuk hari sukan Sekolah Kebangsaan Pasir Besar (FELDA), Gemas, Negeri Sembilan, yang dijadualkan minggu hadapan.

"Saya membantu kakak menyiapkan maskot rumah merah yang bertema futuristik kerana Kak Long memang amat berminat melakukan persiapan sebegini setiap tahun, namun hajatnya tidak kesampaian kali ini," katanya.

Berita berkaitan

'Cikgu Farhana sudah tiada'

Bayi baru 47 hari maut didera?[UPDATE] Suami Cikgu Farhana pula menyusuli...

Disiarkan pada: February 16, 2018 @ 12:36pm
d