utama

Nama suami dah busuk...

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI Salma mengakui hukuman penjara 14 hari yang dijatuhkan terhadap suaminya, Mohammad Azri Abdullah, 20 April lalu, meninggalkan kesan hitam dalam hidup mereka sekeluarga.

Salma atau Salmah A Asis, 27, berkata disebabkan itu suaminya dilemparkan pelbagai tohmahan selain menyifatkan bekas bintang Akademi Fantasi musim kesembilan itu bapa tiri kejam.

"Walaupun hanya 14 hari, tapi nama suami dah ‘busuk’. Malah, ketika berita mengenainya disiarkan ruangan komen di laman Instagram saya dibanjiri dengan komen keterlaluan. Mereka yang tidak kenal secara peribadi memberikan komen negatif sedangkan keluarga dan kenalan rapat sangat tidak bersetuju dengan persepsi masyarakat terhadap suami saya.

"Sebagai isteri, saya cukup terasa kerana lebih tahu suami macam mana. Orang luar yang tidak tahu cerita sebenar pula bersikap lebih. Jadi, berhenti untuk bercakap sesuatu yang tidak baik. Saya bukan bodoh nak bersuamikan kaki pukul apatah lagi dera anak sendiri.

"Bagi saya, kalau tidak ada yang baik untuk diperkatakan, bagus diam. Cuba letak diri anda di tempat saya. Apa yang anda rasa? Lagi pula, suami saya mengaku bersalah atas nasihat peguam,” katanya kepada Harian Metro.

Salma yang juga bekas juara program 3 Juara berkata, dia kini lebih bersemangat untuk bekerja selepas mendapat sokongan daripada keluarga dan rakan.

"Kalau ikutkan, saya nak duduk rumah saja. Tapi, menyanyi adalah punca pendapatan saya. Jadi, saya perlu untuk keluar bekerja.

"Jika sebelum ini suami banyak membantu dengan menguruskan keluarga dan anak, sekarang saya buat sendiri. Saya anggap ada hikmah di sebalik yang berlaku.

"Alhamdulillah, undangan menjayakan persembahan juga tidak pernah putus. Doakan yang terbaik untuk suami dan keluarga saya," katanya.

Dalam masa sama, Salma menjelaskan kejadian itu sangat memberikan kesan kepada anak yang selama ini memang rapat dengan Azri.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan Azri dijatuhkan hukuman selepas mengaku bersalah mendera anak perempuan tirinya dengan mencelup kedua-dua tangan mangsa ke dalam air panas, dua tahun lalu.

Hakim Norshila Kamaruddin menjatuhkan hukuman itu selepas Azri menukar pengakuan bersalah pada hari pertama perbicaraan kes itu sepatutnya berlangsung.

Berita berkaitan:Salma 'block' jika komen negatif

Disiarkan pada: April 30, 2018 @ 4:28pm
d