utama

Saya bukan gila kuasa - Ismail Kassim

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

“SAYA tak mahu dikatakan gila kuasa, tak mahu arwah bapa saya dalam kubur tersentak dengan perbuatan yang tak berhemah di muka bumi," kata Datuk Ismail Kassim ketika mengulas kemelut pelantikan Menteri Besar Perlis.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang itu ketika ditemui pemberita malam tadi menegaskan bahawa beliau enggan dilantik ke jawatan berkenaan, tetapi pada masa masa tidak bersetuju dengan pelantikan Datuk Seri Azlan Man ke jawatan itu.

Katanya, perkara itu sudah dinyatakan ketika merafak sembah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Beliau sebaliknya mencadangkan lapan lagi ADUN Barisan Nasional (BN) lain dilantik ke jawatan berkenaan.

“Kita merayu sekali lagi kepada Tuanku untuk memberi pertimbangan terakhir kepada kami semua demi untuk Perlis yang kita sayang.

"Bukan Ismail Kassim, bukan Azlan Man tapi lapan (ADUN) BN lain,” katanya pada sidang media bersama lapan ADUN di Kuala Lumpur.

Terdahulu Raja Perlis murka dengan tindakan Ismail dan lapan ADUN BN yang tidak menghadiri upacara angkat sumpah jawatan menteri besar di Istana Arau, Perlis, semalam.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, mereka menolak Azlan kerana beliau tidak memiliki ciri kepimpinan untuk membawa kemajuan Perlis ke tahap lebih tinggi.

“Orang juga marah dia jadi ADUN Pauh, Arau kerana dia tak jaga kawasan ini, tinggal kawasan itu dan pindah kawasan baru.

“Orang tahu rekod dia di Pauh tak jelas dan mencuba di kawasan baru sekarang. Di bahagian dia gagal, macam mana kita bagi seorang ketua bahagian yang gagal untuk mengetuai negeri?” katanya.

Menurut Ismail, Azlan juga seorang yang tidak boleh ditegur.

“Dia tak boleh ditegur, anda boleh tanya sesiapa... sesiapa yang berurusan dengan dia boleh tanya. Dia tak boleh terima pendapat, dengan semua orang,” katanya.

Dalam pada itu Ismail berkata, pihaknya berharap nama Menteri Besar baharu dapat dimuktamadkan selepas Hari Raya dan berharap untuk mengadap Raja Perlis, sekali lagi.

Ismail juga meminta semua pihak yang berhenti menunding jari mengatakan mereka gila kuasa apabila menentang pemilihan Azlan.

"Kami minta perbetulkan, kami bukan gila kuasa.

"Saya sendiri mahu berjiwa besar dan tidak mahu dianggap berada di bawah ketiak abang saya (Datuk Seri Shahidan Kassim). Saya bukan gila kuasa," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), BN mendapat majoriti dua pertiga apabila memenangi 10 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis sekali gus membentuk kerajaan negeri.

Berita berkaitan

'Apa itu murka?'

‘Shahidan derhaka kepada Raja Perlis’

'MT saja boleh pecat ahli UMNO'

[UPDATE] Azlan mahu jumpa Zahid, Hishammuddin

[UPDATE] UMNO pecat MB Perlis

'Kami tolak Azlan Man jadi MB'

[UPDATE] Raja Perlis murka

Azlan Man MB Perlis, 9 ADUN BN tak hadir

Disiarkan pada: May 25, 2018 @ 1:25am
d