utama

[UPDATE] Sujud syukur masuk Gaza [METROTV]

Oleh Yusmizal Dolah Aling

“SAYA sebak dan sangat bersyukur kerana selepas enam tahun mencuba, akhirnya delegasi Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) berjaya menjejakkan kaki sekali lagi di bumi Gaza untuk membantu saudara seagama.

“Kami melalui fasa sangat panjang dan memenatkan selama 22 jam dari Kaherah melalui Qantarah dan menaiki feri merentasi Terusan Suez, sebelum tiba di Al Arish dan sempadan Rafah.

“Melalui 22 pos kawalan keselamatan dengan pengawal bersenjata dan kereta kebal, satu pengalaman yang mengujakan ketika bumi Gaza sedang bergolak, kami sujud syukur sebaik memijak bumi Rafah,” kata Naib Presiden MAPIM Dr Ahmad Sani Araby Al Kahery.

Dia yang mewakili Malaysia bersama seorang lagi Naib Presiden MAPIM Abdul Aziz Abu Bakar dan Dr Zain Kandar daripada Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE) berjaya melepasi ‘sekatan masuk’ selepas menempuh perjalanan panjang untuk misi bersejarah itu.

Katanya, mereka berasa amat teruja melihat kesungguhan dan semangat pejuang Palestin untuk membebaskan diri daripada cengkaman zionis.

“Seperti yang kita tahu, MAPIM antara yang terpilih untuk menghantar wakil dalam misi ‘Wake-Up 4 Gaza : Freedom Humanitarian Mission,’ pertama kali dalam tempoh 12 tahun.

“Kami sudah cuba sejak enam tahun lalu dan perkembangan ini begitu menggembirakan aktivis seluruh dunia kerana dapat membantu rakyat Palestin yang ditindas.

“Sepanjang tempoh sekatan, banyak bantuan terkandas. Kami tidak dapat meneruskan usaha menyalurkan bantuan sudah dilaksanakan sebelum ini seperti pembinaan sekolah, penempatan dan bantuan perubatan,” katanya.

Ahmad Sani Araby berkata, pihaknya berharap agar kerajaan Mesir membenarkan lebih banyak badan kemanusiaan masuk ke Gaza untuk menghulurkan bantuan.

“Bagi MAPIM sendiri, kita masih kekurangan dana kira-kira RM1 juta. Sasaran awal ialah RM1.5 juta dan kita baru ada RM500,000.

“Mereka yang prihatin boleh menyumbang menerusi online di www.billplz.com/tabungkilatgaza atau Tabung Dana Bantuan Kecemasan Gaza menerusi akaun Maybank 562834636620,” katanya.

Delegasi itu turut menyertai demonstrasi aman Great Return March atau Perarakan Pulang Besar-Besaran, meskipun agak berbahaya kerana dikawal ketat tentera bersenjata dan kereta kebal rejim Zionis.

Berita berkaitan

'[UPDATE] Kerajaan Mesir bagi lampu hijau'

'Doakan misi ke Gaza berjaya [METROTV]'

Disiarkan pada: June 8, 2018 @ 9:08pm
d