utama

Empat beranak satu liang lahad

Oleh Ahmad Ismail

CUACA mendung, hari ini mengiringi pengebumian empat beranak yang maut dalam kemalangan di Kilometer 176 Jalan Johor Bahru ke Seremban berdekatan Kampung Melayu Raya, Segamat.

Jenazah Nizam Daud, 51, dan isterinya Nur Faizlin Jamaludin@Samsudin, 37, serta dua anak mereka, Nur Naqhia, 6, dan Mohd Niyaz, 2, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Raudatul Mukminin, Kampung Alai pada 10.30 pagi.

Seorang lagi anak mereka, Mohd Naqib, 9, parah dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Segamat.

Suasana pilu di tanah perkuburan turut dikongsi lebih 200 kenalan, penduduk kampung dan kaum keluarga terutama ketika semua jenazah diturunkan ke liang lahad dan bacaan talkin.

Terdahulu semua jenazah tiba di Surau Kampung Gemerih yang terletak bersebelahan kediaman keluarga Nur Faizlin untuk disembahyangkan oleh kira-kira 300 jemaah.

Jenazah tiba dari Jabatan Forensik Hospital Segamat menggunakan tiga kenderaan jenazah pada 8.30 pagi.

Dalam kemalangan 1.30 tengah hari semalam, kenderaan pelbagai guna dinaiki keluarga itu dirempuh oleh treler tanpa muatan dari arah bertentangan.

Mangsa yang menetap di Teluk Rumania, Kota Tinggi itu dalam perjalanan pulang ke kampung keluarga Nur Fazlin di Gemerih.

Berita berkaitan

Ikan baung, lais tinggal kenangan...

Empat beranak maut

Disiarkan pada: September 9, 2018 @ 1:23pm
d