utama

'Mereka rapat, 'pergi' pun bersama' [METROTV]

Oleh Zahratulhayat Mat Arif dan Farah Suhaidah Othman

“MEREKA bertiga rapat, macam adik-beradik dan tak boleh berpisah. Semalam ketiga-tiganya ‘pergi’ serentak dalam kemalangan.”

Itu kata-kata diluahkan Samsudin Yusof, 46, bapa kepada Muhammad Amirul Fahmi, 12, yang terkorban dalam kemalangan ngeri selepas kereta dinaikinya bersama dua sepupu terperosok di bawah treler tanpa muatan dalam kemalangan di Kilomter 44.5 Jalan Ipoh–Taiping berhampiran Kampung Jamuan, Kuala Kangsar, malam tadi.

Turut terkorban dalam nahas itu, Muhammad Irfan Hamdan Al Fikri, 17, dan abangnya, Muhammad Asyraf, 27.

Samsudin berkata, sebelum kejadian Muhammad Amirul ada menghubunginya memberitahu mahu keluar makan malam bersama Asyraf dan Irfan.

“Saya benarkan kerana mereka sering bersama dan anak saya akan memaklumkan kepada saya setiap kali keluar rumah,” katanya yang kelihatan tenang ketika ditemui di Tanah Perkuburan Kampung Beluru, di sini hari ini.

Samsudin yang juga penjawat awam berkata, dia sangat rapat dengan anak bongsunya, namun tiga hari sebelum kejadian, Allahyarham Muhammad Amirul seolah-olah tidak mahu bercakap dengannya.

Samsudin berkata, dia hairan kerana anak bongsunya itu tidak membuat apa-apa kesalahan, namun Muhammad Amirul akan melarikan diri sebaik melihat kelibat ayahnya.

“Baru saya menyedari ada sesuatu yang tidak kena pada dirinya sehinggalah kemalangan itu berlaku,” katanya.

Terdahulu, kira-kira 500 ahli keluarga dan saudara mara serta rakan terdekat ketiga-tiga mangsa hadir di tanah perkuburan berkenaan bagi memberikan penghormatan terakhir.

Jenazah ketiga-tiga mangsa dibawa menaiki tiga van jenazah berasingan daripada Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan tiba di Masjid Kampung Beluru antara 9.25 pagi hingga 9.55 pagi.

Ketiga-tiga jenazah berkenaan disembahyangkan di masjid berkenaan pada 11 pagi dan selamat disemadikan dalam satu liang di tanah perkuburan terbabit kira-kira satu jam kemudian.

Berita berkaitan

''Tiga maut dirempuh treler''

[UPDATE] Tiga maut termasuk dua beradik

[UPDATE] 'Pilu tengok ayah menangis'

[UPDATE] Dikebumi dalam satu liang lahad

Disiarkan pada: September 15, 2018 @ 3:26pm
d