utama

[UPDATE] Hajat Pak Ngah tak tertunai

Oleh Syafil Syazwan Jefri

“INI kali pertama arwah abah merancang untuk mengadakan majlis ulang tahun kelahirannya, namun hajatnya tidak kesampaian."

Itulah cerita yang dikongsikan oleh anak Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah, Siti Syafrina, 32, yang ditemui di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur, hari ini.

Syafrina berkata, bapanya merancang untuk mengadakan majlis itu dan menjemput anggota keluarga dan kenalan bagi meraikan ulang tahun ke-60 kelahirannya di Kuala Lumpur, yang jatuh pada hari ini.

“Pada tahun-tahun sebelum ini, kami sekeluarga yang akan buat rancangan untuk sambutan ulang tahun kelahirannya.

“Kali ini, dia nak rancang sendiri dan nampak sangat teruja untuk majlis itu. Dia juga ingin meraikannya dengan keluarga serta kenalan. Namun, semuanya tidak kesampaian.

“Hari ini... semua anggota keluarga dan kenalannya hadir untuk menyambut kepulangan jenazahnya," katanya kepada Harian Metro.

Syafrina berkata, pemergian bapanya adalah satu kehilangan besar buat mereka sekeluarga.

“Saya rasa, semua orang yang mengenali arwah tahu dia jenis yang akan membawa keluarganya ke mana saja dia pergi. Kami sekeluarga sangat rapat dan tak pernah berpisah," katanya.

Jenazah Pak Ngah tiba di Masjid Jamek Kampung Baru pada jam 3.10 petang untuk disembahyangkan sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang untuk dikebumikan pada jam 5.20 petang tadi.

Syafrina juga mengesahkan bapanya meninggal dunia kerana beberapa penyakit iaitu komplikasi jantung, paru-paru berair, kencing manis dan darah tinggi.

Allahyarham meninggalkan balu, Datin Sharifah Mahani Syed Kasim, dan dua anak iaitu Syafrina dan Megat Syahraini.

Antara selebriti tanah air yang datang menziarah dan memberikan penghormatan terakhir adalah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk M Nasir, Noraniza Idris, Wany Hasrita, Syura Badron, Datuk Nassier Wahab dan Liza Abdullah.

Berita berkaitan

Jenazah Pak Ngah tiba di tanah air [METROTV]

Disiarkan pada: September 26, 2018 @ 6:01pm
d