utama

Gempa politik 2018

TANGGAL 10 Mei 2018 mencatatkan sejarah baharu apabila Pakatan Harapan (PH) berjaya menubuhkan kerajaan selepas memenangi 114 kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, sekali gus mengenepikan Barisan Nasional (BN) yang menjadi parti pemerintah sejak 1959.

Pelbagai kemelut yang melingkari BN, antaranya isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (SST) sejak April 2015 menjadi modal PH yang menggunakan lambang Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk mencipta satu keputusan yang tidak pernah dijangka dalam senario politik tanah air sebelum ini.

Menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ternyata kempen PH untuk menawan Putrajaya menambat hati pengundi apabila turut memenangi 257 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 530 kerusi yang ditandingi kecuali Kelantan, Terengganu dan Pahang yang dimenangi PAS serta UMNO.

Ketika Dr Mahathir sibuk menyusun anggota Kabinetnya, UMNO pula berdepan situasi genting apabila Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Presiden UMNO atas dasar rasa tanggungjawab selepas kekalahan BN pada PRU14 itu dan menamakan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menjalankan tugas sebagai Presiden.

Pada pemilihan UMNO dua bulan selepas itu, Dr Ahmad Zahid dipilih sebagai Presiden UMNO yang baru selepas menewaskan tiga pencabar lain iaitu Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah seraya mencetuskan fenomena baru di dalam lanskap politik parti itu.

Nasib UMNO bagaimanapun terus tidak menentu apabila seorang demi seorang ahli parlimennya keluar parti dan menyatakan sokongan kepada kepimpinan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri termasuk desakan daripada akar umbi yang meminta Ahmad Zahid meletakkan jawatan sebagai Presiden.

Di Sabah misalnya, lima Ahli Parlimen dan sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO diketuai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Hajiji Noor mengumumkan keluar parti berkuat kuasa 14 Disember lalu.

Mereka ialah Ahli Parlimen Beaufort Datuk Azizah Mohd Dun, Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat), Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran), Datuk Zakaria Edris (Libaran) dan Yamani Hafez Musa (Sipitang).

Tahun ini juga, sejarah reformasi yang berusia 20 tahun PKR diraikan apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim secara rasmi diisytiharkan sebagai Presiden PKR selepas menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti menggantikan isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang memegang jawatan sejak 1999.

Di dalam kongres parti yang diadakan di Shah Alam, Anwar turut mengimbau bagaimana parti itu wujud selepas dia dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 1998 dan melalui tempoh yang lama sebelum menjadi kerajaan memerintah.

Selain itu, 2018 juga adalah tahun Anwar membuat come back apabila kembali ke parlimen sebagai ahli Dewan Rakyat apabila memenangi kerusi parlimen Port Dickson menewaskan enam lagi pencabarnya daripada parti PAS dan Bebas pada pilihan raya kecil dengan majoriti sebanyak 23,560 undi.

Suasana hangat politik negara tidak terhenti di situ apabila rakyat menyertai himpunan aman meraikan kejayaan menolak ratifikasi Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Dataran Merdeka yang turut dihadiri Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ahmad Zahid.

Disiarkan pada: December 28, 2018 @ 7:48am
d