utama

Pembunuh pernah minta maaf

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi dan Aizat Sharif

“MEMANG lelaki itu ada datang bertemu saya di rumah dua hari sebelum kejadian (Ahad) untuk meminta maaf tapi saya tidak pasti maaf itu tujuan apa.”

Begitu pendedahan Idris Saad, 47, iaitu bapa kepada dua kanak-kanak yang dibunuh kejam seorang lelaki dalam kejadian amuk di Kampung Tengah, Jalan Kuala Sungai, Yan, malam kelmarin.

Dia yang ditemui di kediamannya hari ini berkata, lelaki berkenaan secara tiba-tiba datang meminta maaf kepadanya tanpa diketahui sebab.

“Saya rasa lelaki itu mungkin berasa bersalah kerana sering meminjam wang RM10 untuk makan atau kerana sering dibelanja makan oleh kami penduduk kampung.

“Namun begitu, saya tidak pernah berkira sangat dengan apa yang dia pinjam atau apa yang sudah saya belanja kerana sebagai rakan sekampung ini adalah perkara biasa,” katanya.

Idris berkata, ketika kejadian lelaki itu menyerang rumahnya, dia baru sahaja keluar ke laut untuk menangkap ikan bersama nelayan lain.

“Ketika itu, saya berada di laut menangkap ikan bersama rakan, kami keluar ke laut pada jam 10 malam.

“Bila saya lihat telefon bimbit saya banyak panggilan yang sudah masuk, namun saya tidak dengar kerana bunyi enjin bot terlalu kuat,” katanya.

Dia berkata, bot yang dinaiki mereka kemudian bergegas pulang dan sebaik tiba di rumah, alangkah terkejutnya dia mendapati dua anaknya sudah meninggal dunia kerana dibunuh.

“Masa saya sampai lelaki itu masih belum ditangkap. Apabila lelaki itu mendapat tahu bahawa saya sudah pulang, lelaki itu cuba mencari saya semula.

“Ketika itu dia dapat ditangkap polis dan penduduk kampung. Apa yang kami tahu dia memang mempunyai masalah tekanan jiwa selepas bercerai dengan isterinya,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, dua beradik, Nurul Hanim, 4, dan Muhammad Hafiz, setahun, yang sedang nyenyak tidur ditetak dan dikelar seorang lelaki yang mengamuk dipercayai akibat mengalami masalah mental.

Idris berkata, penduduk kampung memang mengetahui lelaki itu sudah beberapa kali mengamuk termasuk tiga individu termasuk abang iparnya sendiri.

Sementara itu, isteri Idris, Noorhasyelawati Yusoff, 37, masih tidak dapat melupakan kejadian berkenaan sehinggakan menjadi trauma untuk kembali semula ke rumahnya.

“Saya kini tinggal sementara dengan kakak ipar (Siti Zabedah Saad) selepas apa yang berlaku. Saya bukan setakat trauma, tetapi menjadi sedih melihat katil tempat dua anak saya tidur sebelum meninggal dunia

“Walaupun reda, saya mengharap lelaki itu menerima hukuman setimpal dengan apa yang dia lakukan kepada anak-anak kami,” katanya.

Berita berkaitan

[UPDATE] Suspek bunuh 2 beradik positif ganja

Salur nafas putus akibat dikelar

[UPDATE] Pilunya hati ayah...[METROTV]

[UPDATE] 'Pesakit mental, rupanya...'

[UPDATE] Kelu lihat 2 anak 'bermandi darah' [METROTV]

'Dia serang dengan kayu dulu...'

[UPDATE] Lelaki 'amuk' direman 7 hari

Petanda Angah tidak mahu makan dahulu...

[UPDATE] Polis rampas parang kelar dua beradik

2 budak maut dikelar

Disiarkan pada: January 10, 2019 @ 3:00pm
d