utama

Kami nak saman...

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

PEMANDU pacuan empat roda yang putus tangan kanan akibat kemalangan di Kilometer 66 Jalan Beluran-Telupid, dekat Beluran kelmarin, akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkaitan.

Rawny Alivat Taha, 33, berkata, dia akan menuntut kerugian dan kehilangan yang dialaminya akibat kemalangan yang berpunca daripada kecuaian pihak lain.

“Kami akan saman semua pihak berkaitan termasuk pemandu lori yang menyebabkan tangan saya jadi begini. Setakat ini ini kami sudah buat perbincangan awal dengan peguam.

“Saya akan menuntut agar dia dan pihak berkaitan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kecederaan yang saya alami,” katanya ketika ditemui di Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan, hari ini.

Rawny berkata, akibat kemalangan itu, dia kini kehilangan tangan sebelah kanan dan masih kekok dengan keadaan itu.

“Walaupun keadaan sudah stabil namun saya masih menahan rasa kesakitan dan masih kekok tanpa tangan kanan.

“Malah pergerakan terbatas dan belum biasa dengan keadaan ini,” katanya.

Isterinya Fanny Jukin, 36, berkata, pemandu lori wajib bertanggungjawab terhadap kesan yang dialami keluarganya.

“Kami harap dia (pemandu lori) bertanggungjawab sepenuhnya kerana kemalangan itu bukan silap kami dan saya kecewa dengan dakwaan di media sosial sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, bapa saudaranya, Peter Henry, 49, mendakwa, keadaan jalan raya tidak rata dan berlubang antara punca kemalangan itu berlaku.

“Kami penduduk sini sering menggunakan jalan ini dan sangat faham keadaannya yang berlubang di sepanjang jalan dari Telupid ke Sandakan.

“Kalau jalan raya itu bagus, pasti kemalangan ini tidak berlaku dan anak saudara saya tidak jadi begini,” katanya.

Terdahulu, menceritakan semula sebelum kejadian itu, Peter berkata, anak saudaranya itu bersama keluarganya baru saja melawat mereka di Kampung Pelantung, Beluran.

“Mereka sebenarnya baru selesai melawat kami dan bertolak ke Penampang kira-kira dua jam sebelum kejadian.

“Tiba-tiba saya terima panggilan telefon mengatakan mereka kemalangan dan kami semua terkejut mendengar berita itu,” katanya.

NSTP sebelum ini melaporkan berlaku kemalangan membabitkan Toyota Vigo yang dipandu Rawny dengan sebuah lori sehingga menyebabkan tangan kanannya putus.

Berita berkaitan

Bukan salah kami

Aduh! putus sebelah tangan

Disiarkan pada: February 6, 2019 @ 12:32pm
d