utama

Nekad terjun sungai selamatkan mangsa [METROTV]

Oleh Zaid Salim

“SAYA berjaya menyelamatkan dua wanita hampir lemas kira-kira lebih 50 meter dari tebing, manakala mangsa lagi diselamatkan penyelamat lain,” kata Omar Abdul Aziz Othman.

Omar, 27, dianggap wira berani mati apabila nekad terjun ke Sungai Terengganu untuk menyelamatkan empat sekeluarga selepas kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Storm dinaiki mereka terjunam ke dalam sungai di Pulau Warisan, Kuala Terengganu, malam tadi.

Semua mangsa terbabit berjaya diselamatkan, namun seorang pemancing yang terjun untuk menyelamatkan mereka, Abdul Bari Arshad, 31, dikhuatiri lemas apabila gagal muncul semula ke tebing.

Omar berkata, sebelum itu dia bersama ahli keluarga tiba ke pulau berkenaan untuk membeli-belah pada 9.30 malam.

“Kira-kira 10 minit selepas itu, saya terdengar jeritan orang minta tolong dan segera ke lokasi sebelum terjun ke sungai.

“Selepas menyelamatkan dua wanita dan berenang ke tebing, saya dapati mangsa (Abdul Bari) yang juga penyelamat pertama dalam keadaan tenggelam timbul,” katanya.

Sementara itu, Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Penguasa Bomba Mazimi Mohamad berkata, berkata, tiga lelaki yang lain berjaya naik semula ke darat, manakala Abdul Bari dikhuatiri lemas.

Beliau berkata, sebelum kejadian isteri pemilik pikap itu yang berusia 50-an mahu mengalihkan kenderaan itu tanpa menyedari ia berada dalam posisi gear mengundur sebelum menghidupkan enjin.

“Ia dipercayai menyebabkan kenderaan itu yang diparkir secara mengundur meluncur ke dalam sungai.

“Ketika kejadian, pemilik kenderaan berusia 50-an berada di tepi kenderaan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.40 malam dan usaha mencari dan menyelamat mangsa giat dijalankan.

Katanya, pihaknya menggunakan kaedah selaman membabitkan tujuh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bagi mencari dan menyelamat mangsa.

Semua mangsa yang selamat itu dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut.

Video mengenai kejadian berkenaan tular di media sosial, malam tadi.

Berita berkaitan

'Hilang ketika selamatkan pikap terjunam ke sungai'

Disiarkan pada: February 9, 2019 @ 1:33am
d