utama

Air mata iringi pengebumian 5 sekeluarga [METROTV]

Oleh Helmy Abd Rahman

CUACA panas terik bertukar redup seolah turut berdukacita sebaik jenazah lima sekeluarga yang meninggal dunia dalam nahas di Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit, Kuala Nerus, Terengganu awal pagi tadi diturunkan ke dalam liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Durian Mas, Manir, Kuala Terengganu hari ini.

Jenazah Mohd Kharulinzam Jusoh, 38, isteri, Nur Syaazlien Syarizam Salleh, 21, dan anak mereka, Nur Khaira Aisyah berusia sembilan bulan selain adik dan ibu kepada Nur Syaazlien, Muhammad Nashrullah, lima tahun, dan Rozilawati Mustafa@Razali, 43 selamat dikebumikan tepat jam 4.45 petang.

Jenazah semua mangsa sebelum itu disembahyangkan di Masjid Jalan Pusara selepas Zohor dan dibawa ke Kampung Durian Mas, Manir kira-kira 2.30 petang.

Hampir 200 penduduk kampung turut hadir pada majlis pengebumian lima sekeluarga itu.

Insiden ngeri itu menyebabkan Kharulinzam; isteri, Nur Syaazlien serta anak mereka Nur Khaira Aisyah serta adik iparnya, Muhammad Nashrullah meninggal dunia di lokasi kejadian selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh sebatang pokok.

Ibu kepada Nur Syaazlien, Rozilawati disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNZ jam 8.43 pagi sementara anak kepada pasangan suami isteri itu, Muhammad Khairul Haziq, 5, masih menerima rawatan.

Sementara itu, suami kepada Rozilawati, Salleh Tahir, 49, berkata kejadian itu amat mengejutkan namun dia reda dengan ketentuan Ilahi.

“Memang terkejut sebab arwah isteri tak menunjukkan apa-apa petanda dia akan pergi. Cuma beberapa hari lalu dia ada cakap kepada anak bongsu kami tak akan pulang dari Gua Musang jika anak terus merengek.

“Saya kata pada arwah tak baik cakap begitu tapi tak sangka pula ia jadi kenyataan,” katanya ketika ditemui di tanah perkuburan itu.

Rakan sekerja Mohd Kharulinzam, Roslan Ismail, 32, pula berkata, dia agak hairan apabila perangai arwah tiba-tiba berubah sejak Tahun Baharu Cina lalu.

“Selalunya arwah seorang yang ceria dan cergas tetapi sejak raya Cina, dia jadi pendiam dan selalu termenung,” katanya.

Berita berkaitan:

  • Ajal lima sekeluarga
  • Disiarkan pada: February 9, 2019 @ 6:13pm
    d