utama

'Tak mampu saya bayangkan keadaannya' [METROTV]

Oleh Amin Ridzuan Ishak

“PILU hati saya melihat keadaan Nooreen (Qistina Abdullah) selepas batu yang menghempapnya diangkat,” kata Norehan Abdul Rahman, ibu kepada Nooreen Qistina yang maut dihempap batu konkrit dinding selepas kediaman mereka dirempuh Perodua Myvi di Kampung Merchong, dekat Pekan, semalam.

Suri rumah berusia 26 tahun itu berkata, ketika kejadian kira-kira jam 9 pagi berkenaan dia sedang memasak manakala Nooreen Qistina, 6, sedang memakai pakaian manakala seorang lagi anaknya, Nur Jannah Muhamad Hafizi yang berusia setahun berada berhampiran ruang tamu.

Katanya, secara tiba-tiba sebuah kereta dipercayai terbabas dari jalan besar merempuh dinding rumah menyebabkannya runtuh.

“Keadaan kelam-kabut dan saya cuba mencari Nooreen namun tidak dapat melihat kelibatnya, saya hanya nampak Jannah...saya menjerit meminta bantuan daripada penduduk yang datang untuk membantu.

“Nooreen ditemui tidak berapa lama selepas itu di sebalik batu oleh jiran, tidak boleh saya bayangkan bagaimana keadaannya ketika itu.

“Kami membawanya ke Klinik Kesihatan Nenasi namun gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia di sana,” katanya hari ini.

Mengikut laporan polis, Perodua Myvi dipandu seorang pelajar universiti awam yang dalam perjalanan dari Kuantan ke Johor Bahru itu dikatakan terbabas kerana cuba mengelak kenderaan dari arah hadapan di Kilometer (KM) 58 Jalan Pekan-Rompin menyebabkannya merempuh rumah di tepi jalan.

Jenazah Nooreen Qistina dikebumikan di Tanah Perkuburan MARDI, Muadzam Shah, Rompin selepas solat Isyak malam tadi.

Sementara itu, jiran mangsa, Mohd Idham Ikmal Abdul Rahim, 20, berkata, dia bergegas ke rumah jirannya itu yang terletak di seberang jalan selepas mendengar bunyi dentuman kuat.

“Saya lihat ada sebuah kereta berada dalam rumah dengan keadaan berasap manakala ibu mangsa menjerit meminta bantuan untuk mencari anaknya.

“Saya cuba mengalihkan beberapa batu runtuh sebelum menjumpainya dalam keadaan tertiarap dengan kesan kecederaan di kepala dan darah turut keluar membuak-buak dari mulutnya.

“Kami kemudiannya bergegas ke Klinik Kesihatan Nenasi menggunakan kereta penduduk dan keadaan Nooreen agak lemah sebelum disahkan meninggal dunia di klinik berkenaan,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di lokasi kejadian semalam mendapati kesan runtuhan masih belum dialihkan dan Perodua Myvi sudah dibawa keluar untuk siasatan.

Berita berkaitan

Budak maut rumah dilanggar kereta

Disiarkan pada: February 17, 2019 @ 2:25pm
d