utama

Drama rampasan pesawat berakhir [UPDATE]

Oleh Agensi

Dhaka: Kejadian cubaan rampasan pesawat syarikat penerbangan Bangladesh, Biman Bangladesh Airlines, yang dalam penerbangan ke Dubai selesai apabila anak kapal berjaya menahan lelaki itu selepas bergelut dengannya.

Menurut laporan The Daily Star, Setiausaha Penerbangan Awam Bangladesh, Mohibul Haque, berkata anak kapal memberi amaran kepada juruterbang selepas mendapati seorang penumpang bersikap mencurigakan.

“Juruterbang membuat pendaratan cemas di Chittagong. Semua penumpang dikeluarkan dari pesawat dan suspek berjaya ditahan,” katanya.

Pengarah Keselamatan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Bangladesh, Chowdhury M Ziaul Kabir, berkata pesawat yang cuba dirampas itu jenis Boeing 737-800 yang membawa 148 penumpang ke Dubai dari Dhaka melalui Chittagong.

Laporan Dhaka Tribunes menyatakan, lelaki terbabit bersenjata dipercayai pistol cuba menyerbu masuk ke kokpit dan mendakwa memiliki bom sebaik pesawat berlepas dari Dhaka.

Ali Parlimen Bangladesh, Mayeen Uddin Khan Badal, memberitahu Dhaka Tribune tembakan dilepaskan dalam pesawat dan perampas menuntut untuk bercakap dengan Perdana Menteri Sheikh Hasina.

Seorang penumpang yang enggan dikenali memberitahu akhbar itu dia terdengar tembakan dilepaskan dalam pesawat dan perampas terbabit mendakwa mempunyai bom.

Menteri Dalam Negeri, Asaduzzaman Khan Kamal, yang memberitahu bdnews24.com, bagaimanapun berkata, juruterbang dan semua penumpang sudah dikeluarkan dari pesawat dengan selamat.

“Perampas terbabit adalah rakyat Bangladesh dan dia mengacukan pistol kepada juruterbang ketika pesawat mendarat,” katanya.

AFP melaporkan, Pengurus Besar syarikat penerbangan itu, Shakil Miraj, berkata semua 142 penumpang dibenarkan meninggalkan pesawat oleh perampas terbabit.

Pesawat itu dijadual singgah di Chittagong selepas setengah jam berlepas dari Dhaka sebelum meneruskan penerbangan ke Dubai.

Namun, lelaki bersenjata itu cuba menyerbu masuk ke dalam kokpit sebaik berlepas menyebabkan juruterbang mengisytiharkan kecemasan sebelum melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Shah Amanat, Chittagong, timur Bangladesh kira-kira jam 5.40 petang waktu tempatan.

Biman ialah syarikat penerbangan kebangsaan Bangladesh, mengendalikan penerbangan ke lebih 20 negara, kebanyakannya di Asia Barat dan Asia Tenggara selain penerbangan tanpa henti ke London.

Berita berkaitan

Lelaki rampas pesawat Bangladesh

Disiarkan pada: February 24, 2019 @ 10:28pm
d