utama

Bella maafkan yang terbabit

Oleh Ardini Sophia Sina

“SAYA maafkan yang terbabit sebab hanya ingin kejujuran,” kata Bella Astillah, 25, berkenaan kemelut rumah tangganya yang menjadi perhatian warganet, baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan di Instagram, Bella yang juga isteri kepada penyanyi dan pelakon Aliff Aziz, 28, berasa lega selepas mengetahui kebenaran dan berani bersemuka serta mengakui kesalahan sekali gus meminta maaf atas kekhilafannya.

Kata Bella, dia mengakui terasa pedih dan terluka namun semua manusia melakukan kesilapan.

“Sebagai manusia, hanya maaf yang perlu diungkap daripada terus menegakkan benang yang basah sedangkan kesalahan itu jelas dilakukan.

“Yang membuatkan kecewa dan marah sebab saya saja yang tahu kebenaran. Ramai yang meminta saya untuk ‘post’ video, ada juga segelintir mengatakan saya fitnah. Saya tidak akan sesuka hati ikut emosi untuk ‘post’ tanpa bukti.

“Tapi, selepas saya fikir, adalah lebih baik saya tunjuk kepada keluarga dan yang terbabit saja. Maaf yang tersinggung dengan cara saya berkongsi masalah ini,” katanya.

Menurutnya, setiap manusia ada pelbagai cara untuk meluahkan dan mengendalikan masalah.

Bella berkata, seseorang perlu menjadi diri sendiri dalam mencari dan menentukan cara penyelesaian.

Katanya, andai ada segelintir atau mana-mana pihak yang menganggap tindakannya berkongsi masalah rumah tangga di media sosial itu salah, Bella berkata, setiap manusia punya pendapat masing-masing termasuklah dirinya.

“Dari semasa ke semasa, saya terima banyak ‘direct message’ (DM) yang memberikan kata nasihat, sokongan, dorongan dan kecaman.

“Di sini saya ingin terangkan, saya tidak secerdik dan sepintar rata-rata manusia lain. Saya adalah diri saya. Saya juga manusia biasa yang pasti buat kesilapan,” katanya.

Menerima dugaan itu dengan hati terbuka, Bella menganggap ujian itu adalah lumrah alam dan berharap ramai menjadikan apa berlaku dalam rumah tangganya sebagai iktibar kerana ada wanita yang takut untuk bersuara.

“Setiap petunjuk yang kita minta, kita harus terima dan setiap berlaku pasti ada hikmah. Segala yang baik kita perbaiki jadikan teladan malah tidak baik sebagai sempadan. Apa yang saya inginkan buat masa ini adalah ketenangan.

“Saya ada bertanya dengan ustaz, sudah semestinya untuk tenang adalah mendekatkan diri dengan Allah. Selain itu, kita akan lebih tenang sekiranya memikirkan dan berusaha untuk mengubah diri berbanding mengubah orang lain.

“Sekarang saya perlukan masa dan ketenangan untuk berbincang dengan ahli keluarga. Terima kasih,” katanya.

Terdahulu, Bella menerusi akaun Instagramnya mendakwa bahawa Aliff berlaku curang dengan pelakon Oktovia Manrose serta turut memuat naik perbualan daripada seseorang yang mengatakan dia melihat suaminya dan wanita terbabit di sebuah kelab malam sebagai bukti.

Sebelum ini, Aliff pernah mencetuskan kontroversi apabila didakwa berlaku curang dengan seorang pelakon ketika menjalani penggambaran sebuah drama bersama.

Aliff dan Bella berkahwin pada September 2016 dan dikurniakan cahaya mata, Mohamad Ayden Adrean yang kini berusia setahun tujuh bulan.

Berita berkaitan

'Aliff Aziz buat hal lagi - Bella Astillah'

'Tunggu keluarga, baru komen - Aliff Aziz'

'Oktovia mengaku salah keluar dengan Aliff Aziz'

'Bella mahu bersemuka dengan Oktovia'

Disiarkan pada: March 1, 2019 @ 9:41pm
d