utama

'Berehatlah' Mohd Shafuan...

Oleh Redzuan Muharam

PESAKIT barah tulang, Mohd Shafuan Norazhar, 20, meninggal dunia di Wad Onkologi dan Radioterapi Hospital Kuala Lumpur (HKL), 8.47 malam ini.

Allahyarham yang juga anak kedua daripada tiga beradik menghembuskan nafas terakhir di sisi ayahnya, Norazhar Hussin, 48, ibu, Salmie Shafie, 48, ahli keluarga dan rakannya.

Norazhar berkata, dia reda dengan pemergian Mohd Shafuan dan berterima kasih kepada semua yang mendoakan anaknya selain memberi sokongan moral serta bantuan wang ringgit.

“Keadaannya agak kritikal selepas selesai menjalani rawatan kemoterapi malam tadi dan semakin membimbangkan apabila berlaku pendarahan di bahagian ketumbuhan.

“Doktor sudah melakukan yang terbaik, namun Allah S.W.T lebih menyayanginya. Sebagai bapa, saya sedih tetapi reda dengan pemergiannya.

“Selepas semuanya selesai, jenazah anak saya akan dibawa ke kampung halaman kami di Jelebu, Negeri Sembilan untuk dikebumikan,” katanya.

Pada 31 Mac lalu, Harian Metro melaporkan penderitaan Mohd Shafuan yang disahkan menghidap barah tulang sejak Januari tahun lalu.

Penyakit itu memaksa Mohd Shafuan menjalani rawatan kemoterapi pada Julai hingga November tahun lalu dan ia berhasil apabila saiz ketumbuhan yang ada semakin mengecil.

Namun, ketumbuhan itu kembali membesar pada Januari tahun ini menyebabkan Mohd Shafuan dimasukkan semula ke HKL bagi menjalani rawatan sesi kemoterapi pusingan kedua.

Berita berkaitan

'Musibah bertimpa'

'Mungkin tangan kena potong'

'Remaja barah tulang dirujuk ke HKL'

Disiarkan pada: April 22, 2019 @ 10:47pm
d