utama

'Sah mayat itu ayah kami'

Oleh Norizuan Shamsuddin

“Kami dihubungi orang awam menerusi aplikasi WhatsApp memaklumkan melihat ayah berjalan di kawasan kediamannya pada, 6 Mei lalu.

“Susulan itu, kami (ahli keluarga) bersama pihak polis mencarinya di kawasan itu sebelum menemui rangka mayat di lereng bukit,” kata Rashida Ramli, 56, berhubung penemuan mayat ayahnya, Ramli Ilong, 85, yang dilaporkan hilang sejak 6 Mei lalu.

Mayat Ramli ditemui selepas ahli keluarga bersama anggota polis mencari di kawasan itu kira-kira jam 8.30 malam tadi.

Mangsa dipercayai terjatuh dilereng bukit itu dan mayatnya disahkan meninggal dunia lebih seminggu lalu.

Susulan kejadian, mayat dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian dan pengesahan identiti.

Menurut Rashida, mereka sudah membuat pengecaman di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh, kira-kira jam 2.30 petang, hari ini.

“Berdasarkan pakaian iaitu baju melayu berwarna kuning dan seluar gelap yang ditemui, kami percayai ia adalah ayah kerana itulah warna pakaian yang dipakai sebelum dia hilang.

“Pihak berkuasa juga sudah mengesahkan identiti mayat terbabit adalah ayah saya.

“Proses tuntutan jenazah akan dilakukan selepas selesai bedah siasat dan solat jenazah akan dilakukan di Masjid Almukarramah, Bandar Sri Damansara, di sini, selepas solat Asar.

Manakala proses pengebumian akan dilaksanakan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara,” katanya ketika ditemui di Hospital Sungai Buloh, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din ketika dihubungi mengesahkan mengenai penemuan mayat terbabit.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Pada 10 Mei lalu, portal Harian Metro melaporkan Ramli, yang menghidap darah tinggi dilaporkan hilang selepas keluar bersendirian sewaktu menunggu anaknya bersiap untuk berbuka puasa di Masjid berdekatan kediaman mereka di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, kira-kira jam 6 petang, 6 Mei lalu.

Berita berkaitan

'Tolong kami cari ayah...'

Disiarkan pada: May 16, 2019 @ 4:46pm
d