utama

[UPDATE] Gaduh sebab perempuan rupanya... [METROTV]

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

ENAM lelaki ditahan dipercayai terbabit dalam kejadian membelasah dua penuntut di perkarangan restoran makanan segera di Sungai Isap, Kuantan, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, semua suspek berusia 19 dan 20 tahun itu ditahan antara 4.50 petang hingga 6.45 petang semalam, dalam tiga tangkapan berasingan.

Beliau berkata, terdahulu tiga suspek lelaki ditahan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada 4.50 petang dan merampas satu telefon pintar.

“Dua lagi suspek kemudian ditahan di lokasi sama pada 6 petang sebelum seorang lagi ditangkap 45 minit kemudian selepas hadir ke IPD Kuantan untuk diambil keterangan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan dua penuntut ditumbuk dan ditendang sekumpulan lelaki ketika berada di perkarangan restoran makanan segera kira-kira 12 tengah malam semalam.

Seorang daripada mangsa dikatakan dihubungi bapa saudara bekas tunangnya untuk berjumpa sebelum mereka berdua dipukul dan mengakibatkan kecederaan di bahagian muka, kepala dan badan.

Insiden pergaduhan itu turut tular di Facebook (FB) dipercayai dirakam pelanggan restoran berkenaan.

Video berdurasi 27 saat itu memaparkan aksi pergaduhan antara dua kumpulan yang bertumbuk dan menendang antara satu sama lain.

Sementara itu, Mohamad Noor berkata, siasatan awal pihaknya mendapati motif tercetusnya insiden itu disebabkan perselisihan faham kerana wanita.

Beliau berkata semua suspek tidak memiliki rekod jenayah dan kini direman mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Berita berkaitan

Penuntut dibelasah sekumpulan lelaki

Disiarkan pada: June 20, 2019 @ 10:34am
d