utama

3 'IG Famous' rosak makanan dibebas

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

TIGA lelaki yang ditahan selepas merosakkan makanan di kedai serbaneka di Nilai sehingga video tular di media sosial dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, ketiga-tiga suspek berusia 18 dan 20 tahun itu dibebaskan semalam, selepas tempoh reman empat hari berakhir.

“Kita sudah merujuk kes kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dan tiada pertuduhan akan dibuat.

“Kesalahan yang dibuat sudah diambil tindakan reman untuk siasatan lanjut polis dan ia memadai,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Terdahulu, suspek direman empat hari bagi membantu siasatan kes khianat bungkusan makanan dan minuman di kedai serbaneka di sebuah pasar raya di Nilai, Sabtu lalu.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Khas Reman, Nurharyatie Mohd Saini.

Penahanan terhadap ketiga-tiga lelaki itu dibuat selepas polis menerima laporan yang dibuat pengurus kedai serbaneka, pada jam 11 malam, 20 Jun.

Difahamkan, kejadian disedari selepas dia melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premisnya susulan video yang tular.

Suspek dikatakan merakam video perbuatan itu di Instagram Story sebelum tular di media sosial.

Berita berkaitan:

  • Perosak makanan direman empat hari
  • Nak 'IG Famous' sangat kan..
  • Polis dah cari...
  • Disiarkan pada: June 26, 2019 @ 1:40pm
    d