utama

JKM tunggu siasatan polis

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis menyelamatkan remaja perempuan orang kurang upaya (OKU) pembelajaran selepas disyaki didera keluarga kandungnya di Kampung Gial, kelmarin.

Perkara itu didedahkan jiran mangsa selepas terdengar rengekan remaja berusia 14 tahun itu di luar rumah sebelum merakam dan menularkannya di laman sosial Twitter.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Perpaduan Masyarakat dan Tugas-Tugas Khas Perlis, Siti Berenee Yahaya berkata, pihaknya sedia maklum mengenai perkara berkenaan dan meminta JKM meneliti perkara terbabit.

“Setakat ini remaja itu berada di bawah pengawasan JKM manakala ibu bersama abangnya dipanggil polis untuk diambil keterangan.

“Kes ini akan ditentukan polis sama ada membabitkan penderaan atau tidak kerana saya dimaklumkan hingga kini saksi yang menularkan perkara berkenaan di Twitter enggan hadir ke balai polis seperti disuruh,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Siti Berenee, pihaknya sudah mendapatkan maklumat mengenai keluarga berkenaan.

“Apa yang dimaklumkan penduduk setempat, keluarga terbabit tidak berniat untuk mengurung mangsa di luar rumah, tetapi mereka meninggalkannya setiap kali untuk keluar berniaga.

“Sebelum ini mereka pernah meninggalkannya di dalam rumah, tetapi remaja berkenaan sering memberontak dan memecahkan barangan dalam rumah.

“Keluarga ini dikategori sebagai susah dan tidak mampu. Remaja itu terpaksa ditinggalkan di luar rumah untuk beberapa jam sementara menunggu mereka pulang daripada berniaga,” katanya.

Kelmarin, menerusi Twitter milik jiran mangsa yang dikenali sebagai Jurais Abdullah, remaja itu ditinggalkan di luar rumah ketika keluarganya keluar berniaga.

Menurut Jurais, remaja itu didakwa didera apabila ada kesan kecederaan lama pada tubuh badan.

Cubaan Metro Ahad untuk mendapatkan Jurais tidak berjaya apabila dia tidak membalas mesej wartawan di laman sosial berkenaan.

Berita berkaitan

Tergamaknya ibu dan abang [METROTV]

Disiarkan pada: July 21, 2019 @ 10:01am
d