utama

'Nora, I Love You...' [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

“NORA darling (sayang). Nora, i love you (saya sayang kamu). Mum is here (ibu di sini).”

Itu perkataan disebut Meabh Jaseprine Quoirin, ibu kepada Nora Anne, 15, yang dirakam dan digunakan oleh pasukan keselamatan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja warga Ireland terbabit.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, suara itu dimainkan pada telefon bimbit anggota SAR dan pembesar suara sepanjang operasi hari ini.

Katanya, selain rakaman suara, anggota yang terbabit operasi turut menjerit memanggil nama mangsa supaya dapat didengarinya sekali gus memberi maklum balas.

“Kita sudah merakam suara ibu mangsa iaitu ahli keluarga yang paling rapat dengan mangsa pagi tadi. Kita mainkan rakaman itu seolah-olah ibu berada di lokasi pencarian.

“Ia antara usaha kita untuk mencari mangsa kerana kita yakin dia masih berada di kawasan sekitar iaitu dalam radius pencarian sejauh enam kilometer,” katanya pada sidang media di Balai Polis Pantai di Seremban, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, pihaknya tidak menggalakkan ahli keluarga mangsa menyertai operasi SAR atas faktor keselamatan.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga mengedarkan gambar mangsa dalam sekatan jalan raya yang dibuat dan memuat naik gambarnya ke dalam NUr Alert, portal orang hilang serta media sosial.

Katanya, Pasukan Gerakan Udara dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut membantu pencarian menggunakan pesawat jenis AS 355N dan peralatan jenis Wescam Air Surveilence yang boleh mengambil visual dari udara dengan kebolehan mengesan objek atau manusia.

“Setiap pasukan SAR bukan saja membuat pencarian di trek biasa malah melalui kawasan hutan yang sukar. Penggunaan dron juga diteruskan namun masih gagal mengesan mangsa,” katanya.

Ditanya sama ada Interpol turut membantu operasi itu, beliau berkata, pihak terbabit sudah memberikan kerjasama kepada PDRM sejak operasi bermula.

Seramai 252 pegawai dan anggota terbabit dalam operasi SAR pada hari kelima hari ini.

  • Lagi berita berkaitan Nora Anne Quoirin
  • Disiarkan pada: August 8, 2019 @ 5:15pm
    d