utama

Tiada lagi telatah Alia dan Alissa

Oleh Nur Saliawati Salberi

“JIKA sebelum ini rutin harian saya akan hantar dan ambil kedua beradik berkenaan daripada sekolah, selepas ini tiada lagi momen itu dan sudah pasti amat sukar untuk biasakan diri.

“Walaupun hanya bapa saudaranya namun hubungan kami amat rapat kerana dari kecil mereka bersama saya,” kata Rashidi Muktar, 31, bapa saudara kepada dua beradik yang maut dalam kemalangan meragut enam nyawa di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) Jelatang, Melaka, malam tadi.

Dalam kemalangan 9.30 malam itu, selain Alia Azahar, 17, dan Alissa Azahar, 15, turut maut bapanya Azahar Ahmad, 57, ibu tirinya Halimahtun Aris Padzil, 24, dan ibu saudara Habibah Ahmad, 62.

Lima beranak berkenaan dalam perjalanan dari Yong Peng, Johor ke Brisu, Alor Gajah bagi menyambut Aidiladha pada Ahad ini.

Turut maut, pemandu pacuan empat roda Mitsubishi Triton, Wang Chow Kuang, 51, manakala anak perempuannya berusia 20 tahun parah.

Menurut Rashidi, dia tidak menyangka perubahan sikap anak saudaranya Alissa daripada seorang yang peramah kepada pendiam pada Khamis lalu petanda gadis itu akan pergi meninggalkan mereka sekeluarga.

“Saya pelik ketika mengambilnya balik sekolah pada Khamis, apabila ditanya dia hanya mendiamkan diri dan memandangkan keluar.

“Ingatkan dia ada masalah di sekolah yang menyebabkan sikapnya berubah tetapi tidak sangka insiden ini akan berlaku,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Melaka, Melaka, hari ini.

Sementara itu, neneknya Zaleha Nikmat, 62, berkata, kedua-dua cucunya Alia dan Alissa amat berselera menikmati hidangan asam pedas ikan tongkol disediakannya tengah hari semalam.

Katanya, tindakan Alissa amat beriya-iya menikmati sehinggakan menjilat jari sebaik selesai makan.

“Tak pernah-pernah Alissa jilat jari selepas makan dan tengah hari semalam dia berbuat demikian sambil berkata sedaplah mak (nenek) masak,” katanya.

Berita berkaitan

Berkali-kali salam ibu/a>

[UPDATE] 5 sekeluarga maut tersepit

Disiarkan pada: August 10, 2019 @ 8:51am
d