utama

[UPDATE] Mayat dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar

Oleh Hasbi Sidek

MAYAT wanita kulit putih yang ditemui ketika pencarian Nora Anne Quoirin, 15, dijangka dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban, menggunakan helikopter.

Sebuah helikopter dilihat mendarat di Sekolah Kebangsaan (SK) Pantai sebelum meninggalkan lokasi 6.30 petang tadi.

Pesawat berkenaan dilihat terbang semula ke arah bukit dipercayai untuk mengambil mayat seterusnya ke Unit Forensik HTJ.

Hari ini, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menjumpai mayat di kawasan pencarian Nora Anne di Gunung Berembun berhampiran sebuah resort di Pantai, Seremban.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop mengesahkan penemuan mayat itu pada 1.57 tengah hari ini.

“Kami menemui mayat wanita kulit putih. Bagaimanapun, kami tidak dapat mengesahkan lagi identiti mayat itu.

“Lokasi penemuan mayat kira-kira dua kilometer dari lokasi Nora Anne dilaporkan hilang,” katanya.

Operasi bagi mengesan Nora Anne sehingga semalam membabitkan 353 anggota, pasukan SAR terbesar setakat ini.

Nora Anne disedari hilang dari bilik penginapannya di sebuah resort di Pantai, Seremban oleh keluarganya pada 8 pagi, 4 Ogos lalu.

Remaja orang kurang upaya (OKU) yang mengalami masalah pembelajaran itu tiba bersama keluarganya di Malaysia pada 3 Ogos untuk percutian dua minggu di negara ini.

Terdahulu, beberapa kenderaan Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat masuk ke lokasi mayat itu ditemui.

Keluarga kepada remaja berkenaan turut dilihat masuk ke lokasi penemuan mayat berkenaan dengan menaiki kereta.

Wartawan Harian Metro masih menunggu sidang media berhubung penemuan mayat itu yang akan diadakan hari ini.

Berita lanjut menyusul

  • Lagi berita berkaitan Nora Anne Quoirin
  • Disiarkan pada: August 13, 2019 @ 6:56pm
    d