utama

Sistem brek rosak punca lif menjunam

Oleh Mohd Hilmie Hussin

KEROSAKAN salah satu komponen dalam sistem brek, dikenal pasti sebagai punca lif terhempas dari tingkat lima di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Kuala Lumpur, 2 Ogos lalu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, siasatan dilakukan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mendapati, kerosakan pada komponen berkenaan menyebabkan sistem brek lif tidak berfungsi.

“Kegagalan sistem brek ini menyebabkan jatuhan mengikut bebanan dibawa lif. Disebabkan ketinggian hanya pada tingkat lima, kelajuan jatuhan tidak mencapai tahap untuk mengaktifkan brek kecemasan,” katanya.

Beliau berkata demikian di pejabatnya di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah JKKP, Omar Mat Piah dan Pengarah Bahagian Forensik JKKP, Salina Tukimin.

Beliau berkata, terdapat dua sistem brek pada setiap lif iaitu brek biasa yang menghentikan pergerakan lif di setiap tingkat bangunan dan brek kecemasan yang akan berfungsi selepas pergerakan lif mencapai kelajuan tertentu.

Katanya, brek bermasalah itu terletak di bahagian atas sekali dan berfungsi mencengkam kabel bagi menghentikan lif.

“Pada hari kejadian, brek itu tidak berfungsi disebabkan ‘plunger’ dalam gegelung dawai (selonoid) iaitu antara komponen brek tidak dapat berfungsi.

“JKKP sudah jalankan siasatan menggunakan kotak hitam dan mendapati fungsi lain pada brek dalam keadaan baik termasuk isyarat arahan brek serta pengukur kelajuan lif.

“Namun didapati ada bahagian pada ‘plunger’ terhakis dan tidak berfungsi,” katanya sambil mengesahkan siasatan siasatan JKKP mendapati mendapati lif berkenaan diselenggara mengikut jadual dan kali terakhir diselenggara seminggu sebelum kejadian.

Menurutnya, sistem brek kecemasan pada lif tidak diaktifkan pada hari kejadian berikutan kelajuan jatuhan lif itu tidak mencapai tahap ditetapkan.

Katanya, lif itu bergerak pada kelajuan 2.13 meter sesaat sebelum terhempas berbanding tahap untuk brek kecemasan diaktifkan adalah 2.18 meter sesaat pada kadar elektrikal atau 2.26 meter sesaat pada kadar mekanikal.

Katanya, lif terbabit digunakan sejak 12 tahun lalu dan selonoid terbabit tidak pernah ditukar.

Justeru, beliau berkata, JKKP mencadangkan untuk mengkaji semula kadar kelajuan yang boleh mengaktifkan brek kecemasan serta pelan keselamatan lain.

Selain itu, beliau berkata, JKKP juga akan berhubung dengan pihak pengeluar selonoid dari Korea bagi mendapatkan maklumat sama ada komponen terbabit boleh diguna dalam jangka masa tertentu atau sebaliknya.

Bagaimanapun, Khalid berkata, tiada tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak berikutan siasatan JKKP mendapati pihak kontraktor menjalankan tugas penyelenggaraan mengikut jadual, manakala jika ada tindakan undang-undang akan diputuskan JKKP pada masa akan datang.

Pada 2 Ogos lalu, lapan cedera apabila lif mereka naiki terhempas dari tingkat lima bangunan akibat sistem brek tidak berfungsi.

Berita berkaitan

Penduduk cerita detik lif terhempas [METRO TV]

Kerap buat aduan lif rosak

Lif menggelungsur laju

Disiarkan pada: August 28, 2019 @ 2:20pm
d