utama

Pilu hati Nur Damia

Oleh Ramli Ibrahim

“SETIAP kali diajak ke rumahnya, dia akan menangis kerana rindukan arwah papa dan uminya,” kata Norani Mohamed, 54, ibu saudara kepada Nur Damia Sofea Che Azmi, 7.

Nur Damia adalah antara mangsa selamat dalam kemalangan menyebabkan tiga maut di Kilometer 15 Jalan Gua Musang-Kuala Lipis dekat Kampung Lepan Jaya, Gua Musang pada 4.10 pagi, 16 Ogos lalu apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza dinaiki lima sekeluarga hilang kawalan sebelum bertembung dengan van Toyota Hiace dinaiki 10 sekeluarga dari arah bertentangan.

Kemalangan mengakibatkan Che Azmi Che Hamzah, 48, dan isterinya, Nor Hayati Mohamed, 43, meninggal dunia di tempat kejadian manakala tiga anak pasangan itu, Mohamad Faris Faisal Che Azmi, 15, Mohamad Afiz Zulhilmi, 13, dan Nur Damia parah menerima rawatan di Hospital Kuala Krai (HKK).

Pemandu van, Zulfaizan Muhamad, 43, turut maut dalam kemalangan itu.

Norani berkata, sejak keluar dari hospital minggu lalu, anak bongsu daripada lima beradik tinggal bersamanya.

Katanya, apabila diajak pergi ke rumahnya di Taman Mesra di Gua Musang, Nur Damia menangis kerana terkenangkan ibu bapanya.

“Nur Damia terlalu rindukan arwah papa dan uminya. Dalam usia sekecilnya ini, dia terpaksa berdepan dugaan kehilangan orang tersayang serentak dan setiap kali Nur Damia menangis, saya akan berusaha memujuknya.

“Saya akan menjaganya sebaik mungkin seperti anak kandung sendiri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Rahmat, Gua Musang, hari ini.

Terdahulu, Nur Damia menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syabuddin Hashim.

Norani berkata, sejak kejadian itu, orang ramai tidak putus-putus menziarah Nur Damia termasuk guru dan rakan dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Muhammad Fakhry Petra.

Katanya, mereka yang melawat Nur Damia turut terasa hiba mengenangkan nasibnya yang kehilangan ibu bapa dan menjadi yatim piatu sekelip mata.

Berita berkaitan:

  • 'Adik nak jumpa mama'
  • Suami isteri antara tiga maut
  • Ajal selepas ziarah jenazah saudara
  • Pasangan suami isteri dikebumi bersama
  • Disiarkan pada: August 28, 2019 @ 5:11pm
    d