utama

Badul sanjung arwah, nafi tak rapat

Oleh Norhayati Nordin

"DIA seorang anak yang baik, penyayang, ceria tidak pernah berdendam dengan orang, positif dan paling utama sikapnya yang 'happy go lucky' dan ‘gila-gila’ macam saya.

"Paling saya terasa, arwah sangat bercita-cita mahu menjadi pengawal peribadi Yang di-Pertuan Agong tetapi hasratnya tidak kesampaian," kata pelakon dan pengarah, AR Badul, 70.

Hari ini, pelakon filem Darah Satria dan Prebet Lapok itu kehilangan anaknya, Allahyarham Mejar Zahir Armaya, 36, yang maut terkena tembakan ketika terbabit dalam gimik demonstrasi pelancaran Divisyen Kelima dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia, Tentera Darat Malaysia (TDM) di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah.

Mangsa yang memakai baju kalis peluru terkena tembakan tersasar daripada rakannya ketika latihan itu dan Badul mengetahui insiden menimpa anaknya kira-kira jam 11 pagi tadi.

Badul berkata, arwah anak keduanya daripada enam beradik itu memang bercita-cita untuk menjadi tentera sejak kecil kerana seorang yang lasak dan sangat sukakan cabaran.

"Allahyarham orangnya sentiasa cekal dan berlapang dada apabila menghadapi cabaran. Termasuk, insiden payung terjun yang lambat terbuka dialaminya ketika latihan pada Disember, tahun lalu.

"Arwah tidak pernah merungut, apatah lagi berasa takut atau serik. Baginya, apa yang berlaku itu adalah ujian dan cabaran seorang perwira sejati," katanya.

Menurutnya, meskipun dia dan arwah anaknya jarang berjumpa tetapi mereka sering berhubung.

Katanya, kali terakhir dia bertemu arwah anaknya pada Februari lalu apabila Mohd Zahir menziarahinya di hospital kerana serangan jantung.

Ditanya mengenai dirinya yang didakwa tidak rapat dengan arwah, Badul menyangkal tegas. Katanya tidak ada istilah hubungan tidak rapat di antara bapa dan anak.

"Kami jarang dapat bertemu kerana Allahyarham menetap di kem yang tidak tetap disebabkan terikat dengan urusan kerjanya. Malah, arwah juga sering bertugas di luar negara.

"Sebagai bapa, saya sangat menyanjung tinggi kerjaya anak dan sentiasa menyokongnya. Malah, arwah saya sifatkan seorang lelaki gagah berani demi menabur bakti pada pertiwi," katanya.

Badul berkata, jenazah anaknya akan tiba di Kem Wardieburn Kuala Lumpur kira-kira jam 10 malam dan kemudiannya dibawa ke Tambun, Perak untuk urusan pengebumian pada malam nanti.

Berita berkaitan

'Arwah sempat swafoto sebelum demonstrasi itu'

Seorang anggota tentera disiasat

TDM siasat Insiden komando mati tertembak

'Mesti disiasat, sepatutnya tak bocor'

Badul reda pemergian Mohd Zahir

Anak A R Badul mati tertembak

Disiarkan pada: September 4, 2019 @ 5:55pm
d