utama

Cleopatra wanita tulen, berhentilah memfitnah...

Oleh Redzuan Muharam

“DIA bekas isteri saya, ibu kepada dua anak kami dan memang wanita tulen, bukan pondan seperti mana didakwa segelintir warganet,” kata usahawan, Datuk Mohd Nasir Yaacob, 46.

Mohd Nasir memberi reaksi itu bagi menjelaskan salah faham dan kekeliruan warganet berhubung identiti bekas isterinya, Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin berusia 25 tahun atau Cleopatra selepas video pertemuan wanita berkenaan di pejabat Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjadi tular, baru-baru ini.

Menurut Mohd Nasir, beliau terpanggil untuk memberi penjelasan kerana tidak senang dengan fitnah dilemparkan warganet terhadap bekas isterinya.

Mohd Nasir berkata, walaupun tidak lagi bersama, menjadi tanggungjawabnya untuk mempertahankan dan menjaga nama baik bekas isterinya yang tercalar berikutan kontroversi berkenaan.

“Kami berpisah tahun ini dan membawa haluan sendiri dan kali terakhir saya berhubung dengannya adalah kira-kira sebulan lalu berbual mengenai anak.

“Tiba-tiba, tular mengenai kisah berkenaan dan mulanya, saya tidak tahu menahu mengenai perkara ini sehingga menerima banyak kiriman mesej di laman sosial daripada individu yang mahu mendapatkan kepastian.

“Mulanya, saya biarkan saja kerana tidak dapat menjawab satu persatu pertanyaan diajukan tetapi terpanggil untuk menjelaskannya di laman Facebook selepas melihat tiada siapa mempertahankannya (bekas isteri) kerana walau apa pun terjadi antara kami, dia tetap ibu kepada dua anak saya.

“Saya tidak pasti apa agenda individu berkenaan sedangkan bekas isteri saya seorang wanita yang baik dan tidak mengganggu sesiapa. Apa pun, gambar MyKad dan lesen memandu tersebar adalah palsu selain gambar perkahwinan kami ada di Instagram sebagai bukti,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mohd Nasir berkata, beliau berharap penjelasannya itu dapat menghentikan tohmahan yang boleh memberi kesan terhadap emosi bekas isterinya.

Menurut Mohd Nasir, beliau juga sedang mempertimbangkan untuk membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan fitnah.

“Saya harap fitnah ini dihentikan kerana ia tidak memberi sebarang manfaat, sebaliknya hanya mencemarkan nama baik bekas isteri, saya dan pihak lain yang turut dikaitkan dalam hal ini.

“Sebaiknya, jangan kongsi perkara tidak sahih dan saya minta mereka melemparkan fitnah memohon maaf kepada Nur Fathiah.

“Fitnah ini bukan hanya memberi kesan kepada bekas isteri , saya dan anak kami yang masih kecil tetapi keluarga kedua-dua pihak,” katanya.

Malam tadi, Mohd Nasir memuat naik hantaran di Facebook tertera ‘Perempuan viral dengan Syed Saddiq itu bekas isteri saya. Dia perempuan tulen bukan transgender. Dia ibu kepada dua anak saya. So please (Jadi tolong) hentikan fitnah dia’.

Tidak terhenti di situ, Mohd Nasir memuat lagi hantaran di Facebook miliknya, sejam lalu dengan meminta warganet berhenti menabur fitnah dan mendoakan yang baik-baik.

Berita berkaitan

‘Dia bukan setiausaha saya’ - Syed Saddiq

Disiarkan pada: October 23, 2019 @ 1:47pm
d