utama

'Luar biasa' - Tun M

Oleh Mohd Sabran Md Sani

“KEHADIRAN malam ini cukup luar biasa,” kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad selepas melihat sokongan rakyat kepada PH pada Program Ceramah Mega Harapan di Tapak Terminal Bas Kukup, Pontian, malam ini.

Dr Mahathir berkata, beliau mengharapkan penduduk Tanjung Piai membuat pilihan tepat melaksanakan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Sabtu ini.

Katanya, undi dibuat tidak sepatutnya bermotifkan perasaan marah kerana perbuatan itu merugikan masa depan negara.

“Ingat, jangan undi kerana marah...tidak tahu sebab apa nak marah, nak marah kat (pada saya) waktu ini pun boleh.

“Kita kena fikir masa depan kita dan undi dibuat untuk kebaikan kita. Kalau undi orang yang tidak boleh khidmat pada kita, kita yang rugi,” katanya ketika berucap.

Beliau berkata, pengundi di Tanjung Piai diingat supaya tidak tersilap pangkah dan keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab untuk mengundi.

Dr Mahathir berkata, kehadirannya berkempen berikutan kehilangan seorang rakan, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik yang meninggal dunia.

“Saya macam tidak percaya bila diberitahu dia sudah meninggal kerana baru bersama-sama menunaikan solat Jumaat.

“Tidak nampak dia (arwah) sakit apa-apa dan dia selalu bersama saya, tetapi saya diberitahu dia sudah meninggal,” katanya.

Menurutnya, tiada yang dapat membalas budi Allahyarham Dr Md Farid yang berkhidmat begitu baik melayan pengundi dan rakyat Tanjung Piai.

“Apa kita adakan malam ini (ceramah) mencuba cadangan dan kehendak Dr Md Farid untuk melihat Tanjung Piai ini menjadi kawasan terbaik dengan dibekal segala kemudahan,” katanya.

Menurutnya, penting bagi semua menghargai sesuatu yang baik termasuk kesihatan.

Katanya, gelombang sokongan rakyat berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan rakyat memberi kemenangan besar kepada PH.

Beliau berkata, ketika pertukaran kerajaan, banyak kesakitan dirasai negara, malah mengambil masa untuk mengubatinya sehingga sembuh.

“Kalau bagi masa lima tahun lagi, bekas penyakit dapat menyembuhkan semula penyakit ditinggalkan parti terdahulu,” katanya.

Terdahulu, kehadiran Dr Mahathir pada jam 10 malam disambut kira-kira 2,000 penyokong Pakatan Harapan (PH) yang membanjiri kawasan itu sejak 6 petang tadi.

Aura Dr Mahathir terus meresap pada penyokong PH dengan laungan Hidup Tun bergema ketika Perdana Menteri memasuki khemah.

Kehadiran Dr Mahathir diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali diumumkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ketika memberikan ceramahnya.

Sebelum ini, calon PH, Karmaine Sardini menyatakan komitmen ditunjukkan kepemimpinan tertinggi PH akan menjadi suntikan semangat buat dirinya, sekali gus memastikan kemenangan PH.

Karmaine turut berpeluang berucap di hadapan pengundi sebelum pentas ceramah diserahkan kepada kepada Dr Mahathir.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Disiarkan pada: November 14, 2019 @ 12:26am
    d