utama

'Pergi' selepas lima hari ditikam

Oleh Hadzlihady Hassan

LELAKI yang ditikam rakan sekerja Selasa lalu, disahkan maut hari ini selepas lima hari mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Jafri Md Zain berkata, mangsa berusia 24 tahun itu disahkan meninggal dunia pada 11.15 pagi.

Menurutnya, proses bedah siasat akan dilakukan bagi mengenalpasti punca kematian mangsa.

“Berikutan itu, kami akan memohon supaya reman terhadap suspek disambung dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Dalam kejadian 1.30 tengah hari Selasa lalu, mangsa, Aidil Azran Omar parah ditikam rakan sekerjanya di Taman Symphony Garden, Balik Pulau.

Suspek berusia 27 tahun itu kemudian melarikan diri sebelum berjaya ditahan polis di tepi jalan Simpang Ampat, Nibong Tebal pada 7 malam hari sama.

Mangsa yang parah ditikam berada dalam keadaan kritikal dan terpaksa menjalani pembedahan usus untuk menyelamatkan nyawanya.

Berita berkaitan

'Mangsa tikam selamat dibedah'

'Lelaki tikam rakan dah kena tahan'

'Tikam rakan lewat masuk kerja'

Disiarkan pada: November 23, 2019 @ 3:56pm
d