utama

Hilang di Bangi, cari sampai ke Thailand

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

“SAYA terharu dengan keprihatinan rakan Facebook yang mahu membantu menampal risalah mengenai kehilangan Zahir hingga ke Thailand,” kata Mohd Fauzi Abdul Ghaffar, 45.

Mohd Fauzi adalah bapa kepada kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di sebuah flat di Bandar Seri Putra di Bangi, sejak 15 April lalu.

Mangsa, Muhammad Zahiruddin Putra Mohd Fauzi, 8, yang mesra dengan panggilan Zahir itu dikatakan keluar dari rumahnya kira-kira 8 pagi untuk bermain bersama rakannya sebelum dilaporkan hilang.

Mohd Fauzi berkata, dia dihubungi rakan Facebook, Mohd Rozaini Harong yang meminta kebenarannya untuk menampal risalah kehilangan Zahir di beberapa lokasi di Thailand, Rabu lalu.

“Dia (rakan Facebook) memaklumkan mahu pergi ke Thailand bersama rakannya secara konvoi dengan menaiki motosikal, namun tidak menyatakan tujuan mereka ke sana.

“Lelaki berkenaan memberitahu mahu menampal risalah mengenai Zahir di beberapa lokasi di Thailand sepanjang perjalanan mereka di negara jiran terbabit.

“Saya amat terharu dan menghargai usaha lelaki berkenaan, walaupun kami tidak pernah bertemu kerana ia sedikit sebanyak dapat membantu meluaskan lokasi pencarian Zahir,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, selain itu, ada juga pihak lain yang tampil membantu dengan memberi sumbangan dalam bentuk baju yang disertakan gambar dan maklumat mengenai Zahir.

“Saya juga ada menerima baju yang dicetak dengan gambar serta maklumat berkaitan Zahir diberikan oleh individu yang prihatin dengan kehilangannya.

“Malah, saya sering memakai baju berkenaan supaya orang yang melihatnya boleh mengingati semula kejadian menimpa Zahir sekali gus memberi maklumat jika ada melihatnya,” katanya.

Katanya, walaupun sudah lebih sembilan bulan Zahir dilaporkan hilang, dia sentiasa beranggapan anaknya itu masih lagi hidup selagi tidak melihat jasadnya.

“Selagi saya tidak melihat jasadnya, selagi itu saya anggap dia masih hidup dan akan tetap mencari dalam apa jua cara sekalipun.

“Sudah banyak ikhtiar dilakukan menemui jalan buntu, namun saya tidak pernah putus asa.

“Walaupun tidak mampu bekerja selepas diserang angin ahmar beberapa bulan lalu akibat terlalu memikirkan soal Zahir, saya akan tetap teruskan pencarian.

“Ini termasuk usaha saya memuat naik hantaran mengenai Zahir dengan kerap di media sosial supaya orang ramai bersama-sama membantu mencarinya,” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan kehilangan kanak-kanak itu disedari ibunya, Sainih Sunding, 46, sebaik tiba di rumahnya selepas pulang dari tempat kerja kira-kira 7 malam, 15 April lalu.

Mohd Fauzi kemudiannya melaporkan kehilangan anak lelakinya itu di Balai Polis Bangi pada awal pagi keesokannya sebelum kejadian itu turut dihebahkan melalui Nur Alert.

Berita berkaitan

Zahir di mana?

Polis cari Zahir di sekitar rumahnya

'Zahir masih hidup'

Zahir kami merinduimu nak... [METROTV]

Disiarkan pada: December 24, 2019 @ 3:36pm
d